Friday, October 15, 2010

Bumi Asing

Hidup di atas bumi asing lebih sukar dari yang dijangka. Layanan yang diterima bagaikan diri ini melukut di tepi gantang. Kehadiran yang langsung tidak bererti.
Perasaan putus asa setiap hari menjenguk diri ini seperti sahabat karib yang tidak pernah lupa akan diri ini. Ingin sahaja diriku pergi jauh meninggalkan bumi asing ini. Tetapi kumengemerti bahawa tuhan tak meletakkan diriku di sini semata-mata untuk merasa hiba. Semata-mata untuk mendendangkan irama melankoli. Tentu sahaja Tuhan merencanakan yang lebih baik buatku.
Diri ini pasti bahawa beradanya dia di sini untuk lebih dekat denganNya. Supaya tidak mudah ditipu helah dunia yang sering sahaja menggoda. Supaya lahirnya jiwa yang kuat meskipun terpaksa berada di samping jiwa-jiwa yang kecil.
Manusia tidak lagi menjadi sahabat tatkala perasaan gundah gulana hadir. Mereka lebih senang menjadi api di dalam bilik kecil yang dipenuhi minyak tanah. Mujur sahaja kutemui sahabat baru yang tidak pernah meninggalkan diri ini selagi diriku tidak melupakannya.
Sahabat itulah yang memberikan metode dalam menjalani kehidupan di bumi asing ini. Tidak mungkin jalan itu kutemui tanpa kehadirannya dalam qalbu dan sudah tentu tanpa izin Tuhan. Kerana namanya al-Furqan, dapat aku membezakan antara baik dan buruk. Bukankah hidup adalah tentang membuat pilihan? Kerana sifatnya An-Nur, dapat aku melepaskan diri daripada kegelapan yang membelenggu. Sahabat itulah yang aku pilih untuk mendampingiku di sini dan juga di sana kelak.
Sungguh, bumi asing ini tidak aman dan tidak pula indah. Namun siapa menyangka kebahagiaan itu kutemui di bumi asing ini. Terima kasih Allah atas kurniaanMu. Kumenanti saat pertemuan di hari kelak.

Friday, October 8, 2010

Suka Apa yang Kita Dapat

Assalamu'alaikum.. =D

Setelah sekian lama, akhirnya saya dapat mencoretkan sesuatu di teratak yang sudah berhabuk dan dipenuhi sesawang ini. Pernah juga terlintas dalam benak saya untuk berhenti menulis blog oleh kerana sudah terlalu lama blog ini dibiarkan sunyi. Tetapi saya rindu untuk menulis mahupun berkongsi pelbagai maklumat untuk sejajar dengan nama blog ini.


"Kalau tak dapat apa yang kita suka, suka apa yang kita dapat."

Itulah tajuk motivasi pagi di radio IKIM pada pagi tadi. Sayangnya saya tak dapat mengikuti slot tersebut hingga ke penghujungnya. Walaubagaimanapun ia tetap memberi kesan kepada saya. Hidup ini lebih indah sekiranya kita sertakan dengan rasa syukur kepadaNya. Saya teringat selepas PMR, saya bercadang untuk memasuki sekolah impian saya. Namun akhirnya saya tetap berada di sekolah yang sama. Pada mulanya saya rasa agak terkilan kerana saya telah mengimpikan untuk memasuki sekolah itu sejak mengetahui tentang kewujudan sekolah itu lagi.

Pada tahun berikutnya, sesi persekolahan pun bermula. Saya telah bertemu dengan teman-teman baru. Hadirnya mereka dengan azam untuk berubah menjadi insan yang lebih baik. Seorang demi seorang menemui saya untuk meminta bantuan agar mereka dapat berubah. Pada waktu itu saya menyedari bahawa Allah SWT telah menetapkan saya untuk kekal di sini untuk membantu mereka. Tidak dapat saya nafikan bahawa tugas itu tidak mudah. Terutamanya pengaruh-pengaruh buruk yang mendominasi persekitaran kami. Tetapi saya sering diingatkan bahawa menolong agama Allah itu satu amanah buat saya sebagai khalifah di muka bumi ini. Siapa bantu agama allah,maka Allah akan bantu dia.

Masa berlalu dengan pantas. Keadaan menjadi semakin baik. Mungkin tidak 100% namun perubahan yang baik jelas terlihat. Maha suci Allah, segala puji hanya untukNya yang mengurniakan rahmatNya. Semoga saya juga tidak terkecuali untuk berubah menjadi lebih baik. Sering juga saya diingatkan sekiranya kita ingin mengubah seseorang namun usaha kita tidak mendatangkan hasil, mungkin ada faktor lain yang akan mengubahnya. Yang penting kita telahpun berusaha dan berdoa. Untuk hasilnya kita perlulah bertawakal kerana Dia juga yang akan menentukan.

“Dan percayalah (tawakallah) dirimu kepada Allah, jika kamu betul-betul beriman.” (Surah al-Maidah ayat 23).

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
(QS Al-Baqarah Ayat 216)



Sentiasa ingat bahawa aturan Allah SWT merupakan perancanaan yang terbaik buat makhluk-makhlukNya. Qadarnya telahpun ditentukan, cuma menunggu qada'nya sahaja. Marilah kita tingkatkan zikrullah dan rasa syukur supaya hari-hari yang sedang dan bakal kita lalui disinari cahaya keimanan.


"Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras"."
(QS Ibrahim ayat 7)

Gembira yang Dicari

Gembira yang Dicari

Hidup bagaikan sebuah perkelanaan
Diri ini bagaikan seorang musafir
Dalam perjalanan mencari gembira, mencari bahagia.
Seandainya gembira itu dapat digapai
sekiranya seronok itu dapat dicapai
bagaikan berada di puncak ancala bahagia.
Alangkah malang diri itu menyangkakan bertemu oasis
tatkala helah fatamorgana menipu jiwa yang dahaga.

Bumi ini dipenuhi entiti berjiwa kecil
yang mencari gembira dengan langgam kuning,
yang mencari bahagia dengan permainan dunia
di mana semua disediakan oleh musuhnya sendiri
sehingga terhijab pandangannya untuk melihat realiti
iaitu kebenaran yang indah khabar dari rupa
akibat lena dibuai kesenangan yang terzahir.

Adakah nilai gembira itu terletak pada permainan?
yang lambat laun menjemukan
terpaksa ia mencari permainan yang baru
untuk menghiburkan hati yang gersang.
Kepuasan yang dikejar,
semakin hari semakin jauh
walaupun lelah mengejar, namun tidak pernah menghampiri.

Andai saja gembira itu dicari dengan menghargai,
andai saja kepuasan itu dicapai dengan merasa cukup,
andai saja bahagia itu dikejar dengan mengingatiNya
nescaya kepuasan yang hakiki akan dicapainya
bertemulah dia dengan gembira yang dicari.

Zati Hanani
27/9/2010