Saturday, January 15, 2011

Sebuah Perjalanan

Assalamu'alaikum..

Saya mempunyai seorang bapa saudara yang sangat minat membaca. Sewaktu beliau bertandang di rumah saya, saya menunjukkannya buku-buku yang saya baca. Beliau bertanya apa yang saya suka tentang buku-buku tersebut. Maka saya jawab kerana ceritanya yang menarik dan diselit dengan fakta-fakta yang berguna. Kemudian beliau memberikan komentar yang mengubah penilaian saya terhadap sesuatu bahan bacaan. Katanya;

"Penggunaan bahasa dan jalan cerita hanyalah sebagai satu alat untuk membawa pembaca kepada mesej dan idea yang ingin disampaikan oleh penulis. Jalan cerita merupakan satu perjalanan menuju ke satu destinasi yang ingin dibawa oleh penulis. Dengan mengamati sesuatu karya juga kita dapat memahami pemikiran si penulis. "

Saya pernah tertanya-tanya kenapa beliau gemar membaca karya-karya sastera inggeris. Sekarang baru saya faham bahawa ianya salah satu cara untuk memahami cara orang-orang barat berfikir. Mengapa kita habiskan masa untuk membaca sebuah karya hanya untuk mengetahui sebuah cerita sedangkan kita boleh dapat lebih daripada itu. Carannya adalah dengan membawa pemikiran kita ke tahap yang lebih tinggi.

Untuk menambahkan lagi pemahaman saya, saya telah membaca sebuah karya sasterawan negara Shahnon Ahmad yang bertajuk KESASTERAWANAN: KEPOLITIKAN KEALAMAN KEDIRIAN KEMANUSIAAN. Buku ini sangat menarik kerana ianya ditulis secara spontan untuk menerangkan tentang bidang kesasterawanan. Antara isi yang menarik perhatian saya ialah:

"Kesasterawanan sinonim dengan kehalusan, baik kehalusan jalinan kisah manusia dan kemanusiaannya, mahupun kehalusan wawasannya."

"Dalam alam kesasterawanan yang besar, wawasan bukan sahaja indah dan halus tersifat dalam jalinan-jalinan kerahsiaan perwatakan yang canggih dan pelbagai, bukan sahaja terpendam jauh ke dalam lubuk-lubuk kisah yang berbelit dan perlu diterokai dan dipugar sedalam-dalamnya untuk menghayatinya tetapi juga kadang-kadang menuntut daya kekuatan yang luar biasa untuk menjenguk wawasan yang wujud sedemikian rupa. Dia tidak ada kalau dilihat sekali imbas dengan daya persepsi yang tohor tetapi dia ada bila persepsi itu digabungkan dengan analisis yang kritis serta mengorek maknanya melalui simbol-simbol yang kadang-kadang begitu personal sifatnya. Wawasan itu pula tidak wujud dalam ketulan-ketulan yang pejal dan berdaging seperti masaknya yang terhidang tetapi ianya cuma boleh dirasa sesudah menjamah, mengunyah dan menelannya, malah kadang-kadang lama sudah melalui proses pengunyahan, penelanan itulah baru terasa keberkesanan keindahan dan kebenarannya kerana wawasan itu menjerap masuk ke dalam darah yang mengalir melalui urat saraf dalam tubuh dan muncul dalam pemikiran dan emosi kemudian."

Saya juga pernah diajar oleh guru saya bahawa dalam sesebuah karya terdapat banyak elemen tetapi di penghujungnya kita akan dapat sesuatu yang lain. Sebagai contoh kek mengandungi bahan-bahan seperti tepung, telur dan gula tetapi apabila kek itu dimakan rasanya langsung tidak sama dengan memakan tepung sahaja atau telur sahaja atau gula sahaja. Sebaliknya bahan-bahan tersebut telah teradun dan menghasilkan satu rasa yang sememangnya berbeza.

Kesimpulannya, setiap kali menjamah sesuatu karya hayatilah setiap elemen dan adun elemen-elemen tersebut menggunakan akal supaya kita dapat sampai ke destinasi yang ingin dibawa oleh penulis.