Saturday, March 10, 2012

Seekor Kuda Liar

Wahai sang kuda,

mengapa dirimu begitu liar?

Berkali-kali dirimu kuikat,

namun terlepas jua.


Barangkali tali imanku begitu halus,

sehingga begitu mudah terputus.

Akhirnya kau bebas berlari.


Kini, aku bukan lagi tuanmu.

Kupujuk hati untuk sabar menanti,

keampuhan doa seorang musafir.


Zati Hanani

12.30 a.m.

11/3/2012

Saturday, March 3, 2012

Kemenangan yang Tidak Dijangka

Assalamu'alaikum =D

Perlawanan antara kelab Liverpool dan Arsenal malam tadi membawa keputusan yang tidak dijangka. Liverpool yang baru-baru ini merangkul Piala Carling 2011/12 dikalahkan oleh Arsenal dengan gol 1-2 di kandang sendiri. Siapa menyangka pada minit ke-92 Robin Van Persie berjaya menyumbatkan gol yang membawa kepada kemenangan.

Sungguh, apa yang saya suka tentang sukan adalah keputusan yang tidak dapat dijangka dan semangat untuk tidak mengaku kalah sebelum berjuang. Sentiasa ada secebis harapan untuk sang tikus mengalahkan sang gajah. Maka semangat seperti ini haruslah diterapkan dalam kehidupan kita. Sikap sentiasa optimis dalam menghadapi apa sahaja rintangan yang dilalui dalam liku-liku kehidupan.

Apabila kita renungi situasi zaman ini, kelihatannya pengaruh buruk mendominasi persekitaran kita. Untuk mereka yang berusaha untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran, masyarakat sering memandang rendah kepada mereka dan mengakatakan bahawa mana mungkin mereka dapat menghapuskan budaya jahiliyyah yang semakin berleluasa. Tetapi selagi hayat dikandung badan, perjuangan akan tetap diteruskan dan amanah akan tetap dipikul.

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik." (Al-Imran 3:110)


Usaha yang tidak putus-putus oleh para pendakwah tidak akan pernah sia-sia kerana Allah sentiasa menilai usaha kita dan hasilnya kita serahkan kepada Allah S.W.T. Tidak mungkin Arsenal boleh menang tanpa persediaan yang cukup. Jangan hanya kerana lawan kita itu jauh lebih besar, kita mengambil keputusan untuk menarik diri kerana itu bukanlah sikap orang muslim. Sebaliknya kita haruslah buat persediaan yang lebih baik daripada pihak lawan. Kenal lawan kita supaya kelemahan mereka akan dapat dikenalpasti. Dari situlah strategi dapat disusun.

“Dan sesungguhnya Allah menolong kamu di Badar, padahal (ketika itu) kamu adalah golongan lemah. Dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu bersyukur.”(Al-Imran 3:123)

Sebagai seorang muslim, kita tahu siapa musuh dan lawan kita. Ianya bukanlah pilihan bagi kita untuk menganggapnya sebagai musuh kerana telahpun Allah S.W.T terangkan kepada kita di dalam Al-Quran. Semua musuh Islam merupakan musuh kita. Jangan kita sesekali lihat mereka besar kerana Allah itu Maha Besar dan Allah telah menjanjikan kemenangan buat orang-orang yang berjuang di jalanNya. Sesungguhnya kemenangan yang hakiki dapat kita lihat di Akhirat nanti.

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan selengkapnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [al-Baqarah 2:208]


"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat". [An-Nasr: 1-3]

InsyaAllah, kita pasti akan menang!