Wednesday, November 10, 2010

Mencari Kesempurnaan Akhlak

Akhlak ialah perbuatan, perkataan, dan tingkah laku yang elok serta indah berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Islam dan akhlak yang mulia sememangnya tidak dapat dipisahkan. Rasululluh s.a.w. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak umat manusia. Ini bermakna akhlak yang baik itu penting dalam usaha mencapai kesempurnaan iman. Iman seseorang itu bergantung sejauh mana penghayatannya terhadap akhlak yang mulia.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW bersabda : Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya dan orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling banyak berbuat baik kepada isterinya.

Akhlak yang baik dapat menjaga hubungan manusia dengan penciptanya dan hubungan sesama manusia. Sebagai agama yang syumul, Allah s.w.t telah menetapkan adab-adab yang perlu kita patuhi dalam setiap aspek kehidupan seharian kita melalui Al-Quran dan sunnah . Terdapat pada Rasululluh s.a.w itu contoh yang terbaik buat kita.

Sesungguhnya, bagi kamu diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah "
(Surah al-ahzab ayat 21)

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.

Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung
(QS al-Qalam ayat 4)


Dr.Danial Zainal Abidin dalam bukunya “Tip-tip Cemerlang Daripada Quran” mengatakan bahawa tanpa akhlak dan budi pekerti, tidak akan ada kecermerlangan dan akhlak yang tinggi menjadi kekuatan yang penting dalam dakwah nabi. Dalam buku yang sama, Dr.Danial Zainal Abidin turut menyatakan cara-cara membentuk akhlak.

"Bagaimana Membentuk Akhlak?

Ramai orang gagal memperbaiki akhlak mereka kerana mereka tidak mengenali kelemahan diri sendiri. Mereka sering terpedaya dengan diri sendiri dengan merasakan akhlak mereka sudah cukup baik. Di dalam Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali, dalam bab Latihan Jiwa, Permurnian Akhlak dan Pengubatan Penyakit Hati, mengutarakan beberapa kaedah yang boleh digunakan bagi mengubah akhlak individu.
1. Berguru dengan guru yang mampu mendidik kita. Guru itu mestilah seorang yang bersih hatinya dan mantap agamanya. Beliau mampu melihat kelemahan yang ada pada diri kita dan mampu memberikan petunjuk berkaitan dengan cara memperbaiki diri dan mengubati kelemahan itu.

2. Berkawan dengan seorang yang baik serta mantap agamanya. Sahabat kita itu dapat membantu kita bagi memperbaiki akhlak dan kita perlu menerima teguran ikhlas daripadanya. Inilah jalan yang pernah dilalui oleh tokoh-tokoh Islam sebelum ini. Sahabat Omar bin Khattab pernah bertanya kepada Salman Farisi, "Apakah kelemahan yang kamu ketahui tentang diriku?" Sahabat Salman terus menyebutkan dua kelemahan yang ada pada Omar dan Omar menerimanya dengan baik. Mengikut laporan yang lain, Omar pernah bertanya kepada Huzaifah, "Adakah kamu nampak dalam diriku tanda-tanda kemunafikan?" Sahabat Huzaifah berkata, "Tidak ada." Begitu;ah caranya sahabat-sahabat nabi bersahabat.

3. Memaafkan komen-komen negatif daripada musuh. Sepatutnya, manusia lebih banyak memaafkan komen musuh yang menceritakan berkenaan kekurangan dirinya daripada mendengar puji-pujian kawan yang mahu mengampunya. Individu-individu biasa menganggap komen-komen musuh sebagai pandangan yang tidak bernilai. Sebaliknya, individu-individu yang tajam mata hatinya suka mengambil manfaat daripada komen-komen itu.

4. Mengambil iktibar daripada kelemahan orang lain. Dalam pergaulan, kadangkala kita akan melihat perangai dan sifat negetif orang lain. Pada masa itu, kita perlu menjadikan kelemahan orang itu sebagai kelemahan kita yang perlu kita perbaiki. Jadikan orang lain sebagai cermin diri kita kerana orang mukmin itu cermin bagi mukmin lain. Nabi Isa pernah ditanya, "Siapakah yang medidik engkau?" Nabi Isa menjawab, "Aku melihat orang bodoh dengan kebodohannya dan (aku mendidik diri) dengan menjauhi kebodohan itu." "

Nabi s.a.w bersabda: “Barangsiapa dikehendaki oleh Allah kepadanya kebajikan, nescaya dianugerahiNya kepadanya teman yang baik. Kalau ia lupa, maka teman itu akan memperingatinya. Dan jikalau ia teringat, maka teman itu yang akan menolongnya.”

Nabi s.a.w. bersabda: “ Dua orang bersaudara itu, apabila berjumpa, adalah seumpama dua tangan, yang satu membasuh yang lain. Dan tidaklah sekali-kali dua orang mu’min itu bertemu melainkan diberi faedah oleh Allah dengan kebajikan akan salah seorang dari keduanya dari temannya.”

Nabi s.a.w. bersabda: “ Hai Abu Hurairah! Haruslah engkau berbaik budi.”
Lalu Abu Hurairah ra. bertanya: " Bagaimanakah budi yang baik itu, wahai Rasulullah?"
Nabi s.a.w. menjawab: " Engkau menyambung silaturrahim dengan orang yang memutuskannya dengan engkau, engkau memaafkan orang yang berbuat zalim dengan engkau dan engkau memberikan kepada orang yang tidak mahu memberikan kepada engkau"



sumber:
1) sini
2) Ihya Ulumuddin,Imam al-Ghazali

1 comment: