Tuesday, February 15, 2011

ku damba cintamu

Assalamu'alaikum..



Pada hari ini saya meluangkan masa saya membaca sebuah buku baru terbitan PTS. Sungguh, memang saya mendambakan cintanya. Tapi layakkah diri yang hina ini untuk mendapatkan cintanya?

Pasti kita semua tahu betapa besarnya rasa cinta baginda Rasullah s.a.w kepada umatnya. Waktu hidupnya, baginda berkorban untuk menyampaikan Islam kepada ummatnya yang amat dicintai. Di hujung hayatnya baginda masih ingat akan ummatnya. Bahkan sekarang, sehingga hari kiamat sekalipun kasihnya kepada ummatnya tidak pernah luntur.

Tetapi kasihkah kita pada baginda? Apa perasaan anda jika insan yang paling anda sayangi, yang anda sanggup berkorban untuknya tetapi dia tidak menghargai kasih anda apatah lagi membalasnya? Cukupkah kita dengan hanya sekadar menyebut-nyebut nama baginda tetapi tidak mengamalkan sunnahnya dan meneruskan perjuangannya dalam menyebarkan nikmat Islam kepada sekalian manusia?

Nabi berkata, " Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku ini, iaitu nabi Muhammad kasih kepada dirinya melebihi kasih dari keluarga, harta dan manusia semuanya."
(Riwayat Muslim)

Ibn Hajar al-Asqalani memberi ulasan tentang hadis yang maksudnya hampir sama dengan hadis di atas. Pengarang buku al-Mufhim berkata, "Ada orang yang membesarkan orang lain tetapi hatinya kosong dari mencintainya. Justeru, membesarkan seseorang tidak bererti kasih kepadnya. Apabila tidak ada kecenderungan dalam hatinya mengasihi nabi, imannya tidak sempurna."

Antara cara untuk menimbulkan rasa kasih kepada Rasulullah s.a.w adalah dengan menghayati al-Quran dan sunnah. Nabi tidak meninggalkan ummatnya harta yang bertimbun tetapi Nabi meninggalkan al-Quran dan sunnah buat kita yang menjadi pembimbing sepanjang zaman. Selagi ada al-Quran dan sunnah, nabi terus menjadi saksi sama ada atas kelakuan baik ataupun kelakuan jahat manusia.

Nabi sudahpun menyampaikan kepada kita. Kita perlu menerima, beriman dan membenarkannya.

Apabila rasul-rasul dan umat manusia bertelingkah di hadapan Allah di padang Mahsyar kelak, sebahagian umat medustakan rasul-rasul mereka.

Mereka berkata "Tidak pernah seorang pemberi amaran pun yang datang kepada kami."

Rasul menjawab, "Kami sudah sampaikan kebenaran dan amaran kepada mereka."

Allah berkata, "Siapa menjadi saksi kamu?" Para Rasul menjawab, "Muhammad dan ummatnya."

Umat Muhammad datang dan menjadi saksi para rasul menyampaikan.

Allah berkata, "Bagaimana kamu tahu?"

Umat Muhammad menjawab, "Nabi kami memberitahu para rasul menyampaikan. Lantas kami membenarkan."

(Riwayat Bukhari)


Sekuat manakah cinta kita kepada baginda? Mahukah baginda menerima kita sebagai ummatnya? Ya Rasulullah, semoga pada hari di mana aku memerlukan syafaatmu, engkau menerimaku sebagai umatmu dan menyambutku dengan senyuman, dengan penuh rasa kasih. Wahai kekasih Allah, sesungguhnya aku amat merinduimu. Wahai cahaya di atas cahaya, semoga dengan bimbinganmu aku dapat melepaskan diri dari permainan dunia yang penuh dengan helah yang licik. Wahai pembawa rahmat, semoga aku dapat menjadi umatmu yang terbaik dan berjaya mendapat cintamu seterusnya mencapai redhaNya.

Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w sebagai manifestasi cinta kita kepada baginda.