Assalamu'alaikum..
Pada 25 sehingga 26 februari, saya telah menyertai sebuah kem ibadah (mukhayyam tarbawi) sebagai seorang fasilitator. Temanya ialah Asma' Allah dan setiap kumpulan telah diberikan 10 nama-nama Allah untuk dibincangkan dalam usrah. Kumpulan saya membincangkan 10 nama terawal dalam 99 Asma'ul Husna. Saya lebih menekankan kepada sifat Allah yang Ar-Rahim. Antara kisah yang saya kongsikan bersama ahli usrah saya adalah sebuah kisah yang diceritakan oleh seorang guru saya. Kisahnya;
Salah seorang pensyarah guru saya mempunyai seorang isteri yang bertugas sebagai peguam syariah. Klien peguam tersebut sangat runsing kerana kesnya tidak selesai-selesai walaupun sudah lama dibicarakan. Maka, atas sebab rasa kasih terhadap saudara seakidahnya itu, beliau pun mendekati kliennya untuk berkongsi sebuah doa. Doa yang dimaksudkan di sini ialah potongan surah Al-Qasas ayat 24.
Beliau menyapa dengan mengatakan "Sabarlah kak, banyak-banyakkan berdoa.". Kemudian wanita itu pun menjawab, "Akak dah puas dah berdoa. Tapi tak jadi apa-apa pun.". Sebaik sahaja mendengar jawapan wanita itu, peguam tadi pun terus lupa doa yang ingin dikongsi bersama kliennya. Walau setelah bersungguh-sungguh untuk mengingati doa tersebut, beliau gagal.
Akhirnya beliau pulang ke rumah dan bertanyakan doa itu kepada suaminya. Setelah dinyatakan oleh suaminya, barulah beliau ingat kembali akan doa tersebut.
Ingin dinyatakan di sini, sikap wanita tersebut yang berputus asa untuk berdoa kepada Allah menunjukkan bahawa dia berputus asa terhadap rahmat Allah. Maka Allah telah menutup pintu rahmat-Nya ke atas wanita tersebut. Mungkin sahaja jika doa itu dapat dikongsikan bersama wanita tersebut dan dia mengamalkannya, insyaAllah urusannya dipermudahkan Allah.
“…dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” -Surah Yusuf ayat 12.
Setiap manusia tidak akan lepas daripada menerima ujian daripada Allah sama ada sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besar ujian. Allah tidak akan membebani hambanya di luar kemampuan hambanya. Sepatutnya ujian yang kita hadapi dapat membawa diri kita lebih dekat dengan Allah dan bukan pula sebaliknya.
"Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak Diuji? Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta (dalam keimanannya)" (Surah Al-Ankabut: 2-3)
"Barangsiapa yang tidak meredhai qadha-Ku dan tidak bersabar atas bencana yang Aku timpakan atasnya, maka carilah Tuhan selain dari pada-Ku" (HR Thabrani)
“Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadap-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu. Jika dia mengingatiKu di dalam hatinya maka Aku mengingati dia di dalam hati-Ku, dan jika dia mengingati-Ku dalam perhimpunan maka Aku ingati dia dalam perhimpunan yang lebih baik (yakni jemaah para malaikat). Apabila hamba-Ku mendekati-Ku sejengkal, maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta, maka Aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari” (Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)
No comments:
Post a Comment