Assalamu'alaikum =D
Malam semalam saya menghadiri satu lagi forum perdana di masjid berhampiran. Tajuk kali ini, "Ramadhan; Kedatanganmu dirindui, Pemergianmu ditangisi". Pelbagai pengisian yang menarik dijamahkan kepada jemaah yang hadir. Antara yang menarik perhatian saya ialah bagaimana ahli panel menceritakan bahawa ramadhan adalah bulan untuk merenggangkan hati kita dengan dunia. Setelah 11 bulan membina hubungan akrab dengan dunia, maka Allah turunkan satu bulan di mana kita menjarakkan hubungan kita dengan dunia supaya perasaan cinta kepada dunia tidak terus bermaharajalela di dalam kalbu. Tapi sayang apabila berakhirnya ramadhan, maka segala perubahan dan kebaikan yang kita lakukan ditinggalkan terus dengan begitu sahaja. Kembali kepada keadaan biasa di mana dunia merupakan misi hidup.
“Sesiapa yang menghendaki ( kesenangan hidup ) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa Yang Kami kehendaki ; kemudian Kami sediakan baginya neraka jahannam ( di akhirat kelak ), untuk membakarnya Dalam keadaan Yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.”
(Al-Israk : 18 )
Ahli panel turut menceritakan mengapa ramadhan ini wajar kedatangannya dirindui dan pemergiannya ditangisi. Antara sebab-sebabnya ialah:
1) Ganjaran yang berlipat kali ganda oleh Allah s.w.t. Ini melihat kepada kelebihan puasa dan kelebihan ramadhan itu sendiri.
2) Suasana yang penuh rahmat di mana pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Musuh utama syaitan, turut dibelenggu pada bulan ini.
3) Keampunan yang dijanjikan oleh Allah s.w,t.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Umatku telah
diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum bernah diberikan kepada
mana-mana umat pun sebelum mereka."
1. Bau busuk mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau
kasturi.
2. Ikan-ikan di laut akan beristigfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah s.w.t. akan menghiaskan syurgaNya dan berkata, "Telah
hampir masanya hamba-hambaKu yang soleh akan dilepaskan dari beban-beban dan
mereka akan datang kepadamu."
4. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan dan mereka tidak
akan dapat berbuat sesuatu dalam Ramadhan ini apa yang biasa mereka lakukan pada
bulan lain.
5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan.
Ditanya kepada Rasulullah, "Adakah ia lailatur Qadar?" Baginda menjawab, "Tidak!
Tetapi seorang pekerja yang diberikan ganjarannya apabila telah selesai
kerjanya."
(Riwayat Imam Ahmad)
Selain itu, cara yang terbaik untuk menyambut ramadhan juga dinyatakan, iaitu:
1) Tetapkan niat untuk melakukan kebaikan. Antaranya, tetapkan niat untuk mengkhatamkan al-Quran pada bulan ini.
2) Jadikan bulan ini sebagai titik permulaan bagi segala kebaikan. Perkara-perkara yang kita tidak pernah lakukan sebelum ini, inilah masanya untuk melakukannya sementara syaitan tidak berada di sisi kita.
3) Mengambil segala kesempatan untuk merebut pahala dan ganjaran yang telah Allah sediakan.
4) Jangan sesekali sombong dengan pahala walau sekecil manapun perkara tersebut.
Persoalan tentang mengapa jemaah tarawikh di surau atau masjid paling ramai pada awal ramadhan dan bilangannya yang makin lama, makin sedikit turut dirungkai dalam forum ini. Ahli panel menceritakan bahawa 10 malam terakhir ramadhan yang menjanjikan dijauhkan dari api neraka merupakan tiket yang paling mahal yang boleh kita perolehi. Oleh sebab itu, syaitan akan memastikan supaya manusia tidak memperolehi tiket itu. Maka, inilah yang dikira "win-win situation" di mana syaitan membenarkan manusia mendapatkan 10 malam pertama yang menjanjikan rahmat tetapi memastikan supaya itu sahaja yang terbaik seseorang itu boleh perolehi. Ini adalah situasi apabila dia gagal menghalang manusia untuk melakukan kebaikan dan seterusnya gagal juga untuk menghasut supaya manusia melakukan dengan cara yang salah. Maka, ia menjadi seakan alternatif terakhir supaya manusia itu tidak mendapat ganjaran yang sepenuhnya.
Satu lagi persoalan yang ditimbulkan ialah bagaimana wujudnya perkara-perkara mungkar sedangkan syaitan dibelenggu pada bulan ramadhan. Jawapannya sangat mudah. Ini bermakna syaitan telah berjaya mendidik jiwa manusia untuk terus melakukan kemungkaran walaupun dia tidak berada di sisi kita. Sebelum datangnya ramadhan, pelbagai pesanan telah ditinggalkan kepada manusia supaya senantiasa dekat dengan kemungkaran dan jauh dari kebaikan.
Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya ia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.
[Fatir 35:06]
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan selengkapnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
[al-Baqarah 2:208]
Sekali lagi, itu sahaja yang mampu dikongsi dengan daya ingatan yang terbatas. Semoga bermanfaat buat semua.
الَلهمَ بلَغنا رمضان
“Ya Allah Sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”
(merupakan doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah menjelang Ramadhan)
No comments:
Post a Comment