Sunday, July 24, 2011

Persediaan Menyambut Ramadhan




Assalamu'alaikum.. =D

Sedang menghitung hari menanti tibanya bulan yang mulia. Dalam kesibukan urusan duniawi, sehingga tak sedar bahawa bulan yang dinanti-nantikan ini semakin hampir. Semoga dipanjangkan umur untuk menyambut 30 hari dengan penuh keberkatan. Baru sahaja pulang daripada forum perdana di masjid yang membincangkan tentang persediaan untuk menyambut Ramadhan. Sebagai konsep, moderator dan ahli panel menyamakan bulan Ramadhan dengan sekolah atau kursus untuk melahirkan graduan yang bertakwa. Ia juga tempat di mana kita mendidik nafsu yang selama ini yang tidak pernah merasa puas.

"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu sekalian puasa, sebagaimana
diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu sekalian bertaqwa "( QS AlBaqarah : 183 )
.

Ayat perintah di atas telah mewajibkan umat Islam untuk berpuasa pada bulan Ramadhan. Tiga perkataan yang penting, iaitu beriman, puasa dan bertakwa. Dapat kita lihat bahawa objektif puasa adalah untuk melahirkan insan yang bertakwa. Jadi, bagaimanakah caranya? Kita harus melihat persediaan sebelum datangnya lagi bulan Ramadhan. Sebelum ke mana-mana program atau kursus, tentu ada pelbagai persediaan yang kita lakukan. Begitu juga dengan ibadah puasa. Di sini kita dapat bahagikan kepada tiga jenis persediaan iaitu spiritual, kewangan dan ilmu.

1) Persediaan spiritual
Seperti yang kita tahu, bulan Ramadhan adalah tempat untuk mendidik nafsu. Maka, persedian dari segi rohani haruslah diperkuatkan agar mudah bagi kita untuk mendidik nafsu dengan berkesan. Apakah kayu ukur bagi keberkesanan di sini? Apabila perubahan yang baik itu bukan hanya terhad pada bulan Ramadhan sahaja, tapi sehingga akhir hayat kita. Maka, mari kita lihat apakah perubahan yang dapat kita lihat pada bulan Ramadhan di mana kita lakukan apa yang nafsu kita tidak suka.

a) Mengamalkan sunnah
Nafsu kita memang tak suka untuk mengamalkan sunnah. Tapi apa yang kebanyakan kita makan sewaktu berbuka? Buah tamar yang menjadi amalan Nabi.

b) Memanjangkan solat
Kita memang kalau boleh solat nak sesekejap yang boleh. Tapi apabila datangnya Ramadhan, ramai yang sanggup meluangkan masa untuk solat tarawikh yang dilakukan sekurang-kurangnya lapan rakaat. Tambahan pula, kebanyakan imam memanjangkan solat dengan membaca sehingga satu juzu' al-Quran dalam tarawikh.

c) Membaca al-Quran
Pada bulan-bulan lain, sukar untuk kita memperbanyakkan bacaan al-Quran. Tapi pada bulan Ramadhan ramai yang berlumba-lumba mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh 30 hari tersebut. Ditambah pula dengan program-program seperti tilawah al-Quran yang dianjurkan oleh pihak masjid atau surau.

d) Bangun malam
Pada malam Ramadhan sangatlah digalakkan untuk qiamullail terutamanya pada 10 malam terakhir. Ramai yang selama ini tidak pernah bangun malam, tapi apabila datangnya Ramadhan terdetik pada hati mereka untuk melakukan sedemikian.

Oleh itu, kekuatan rohani haruslah ada untuk melakukan perkara-perkara ini supaya nafsu kita terdidik walaupun setelah Ramadhan meninggalkan kita.

2) Persediaan ilmu
Syarat untuk sesuatu ibadah membuahkan hasil yang sepatutnya, ia perlulah didahului dengan ilmu. Ilmu penting bagi melahirkan kefahaman dan memastikan apa yang kita lakukan berlandaskan syariat. Jika dibiarkan budaya jahil berleluasa, kita dapat lihat masyarakat hari ini melakukan perkara yang bercanggah dengan syara' walaupun niatnya baik. Maka sebelum menghadapi bulan Ramadhan, ilmu yang berkaitan dengan ibadah-ibadah dalam bulan ini harulah dikuasai terlebih dahulu.

“Maka ilmuilah (ketahuilah)! Bahwasanya tiada sesembahan yang berhak disembah selain Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu.” (QS. Muhammad [47]: 19)

Dalam ayat ini, Allah memulai dengan ‘ilmuilah’ lalu mengatakan ‘mohonlah ampun’. Ilmuilah yang dimaksudkan adalah perintah untuk berilmu terlebih dahulu, sedangkan ‘mohonlah ampun’ adalah amalan. Ini pertanda bahwa ilmu hendaklah lebih dahulu sebelum amal perbuatan.

3) Persediaan kewangan
Untuk mebudayakan amalan bersedekah, eloklah kalau dimulakan pada bulan yang penuh barakah ini. Sediakanlah bajet yang sesuai untuk menyumbang kepada mereka yang kurang bernasib baik. Selain itu, jangan lupa untuk memberikan sumbangan kepada pihak masjid atau surau berhampiran dengan tempat tinggal anda supaya program-program mengimarahkan bulan Ramadhan dapat dijalankan dengan jayanya. Ini penting supaya kita mendapat keberkatan pada harta kita dan bulan yang mulia ini dapat kita jalani dengan penuh rahmat daripadaNya. Tidak adil bukan jika kita semua sanggup menghabiskan wang untuk menyambut aidilfitri tetapi lokek untuk bersedekah pada bulan Ramadhan yang menjanjikan ganjaran yang besar.

Sekolah Ramadhan ini terdiri daripada tiga semester. 10 hari pertama yang penuh rahmat, 10 hari kedua yang penuh dengan keampunan dan 10 hari terakhir di mana dijauhkan daripada api neraka. Mari kita manfaatkan ketiga-tiga tempoh ini dengan pelaburan yang berbaloi. Biar apabila buku pelaburan tersebut kita buka pada hari akhirat, ia menunjukkan keuntungan yang berlipat kali ganda. Ramai yang melakukan amalan yang tampak ukhrawi, tapi apabila dicari amalan tersebut pada hari akhirat tidak dijumpai amal-amal tersebut kerana tiada penghayatan dalam ibadah tersebut. Ada pula yang melakukan perkara yang tampak duniawi, tapi membawa kepada ganjaran yang hebat pada hari akhirat kerana adanya penghayatan pada amalan tersebut. Oleh itu, sebelum saya mengakhiri perkongsian ini mari kita lihat apakah syarat-syarat ikhlas supaya amal ibadah kita diterima Allah S.W.T.

1)Khauf: Perasaan gentar dan takut kepada Allah.
2)Mahabbah: Perasaan cinta dan kasih kepada Allah.
3)Raja': Perasaan mengharap kepada Allah. Mengharap supaya Allah memandang amalannya dengan penuh kasih sayang.
4) Tawakkal: Berserah sepenuhnya kepada Allah akan apa pun balasan yang akan diterima.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya Allah s.w.t tidak menerima apa-apa amalan melainkan amalan yang dilakukan khas untuknya dan diharapkan supaya Allah memperkenankannya” (Riwayat An-Nasai melalui Abu Umamah)


Itu sahaja yang dapat dikongsi dengan daya ingatan yang terhad ini. Banyak lagi ilmu yang telah disampaikan oleh ahli panel pada malam ini. Supaya ilmu yang dikongsi bersama ini bermanfaat buat semua, InsyaAllah. Selamat menyambut bulan Ramadhan buat semua. Ahlan wasahlan ya Ramadhan.

2 comments:

  1. salam3alaik.

    suka entri ini. thumbs up! :)
    selamat menghadapi Ramadhan al-Mubarak, zati :)

    ReplyDelete
  2. wa'alaikummussalam ya ukhti.. :)

    terima kasih atas kunjungan..
    selamat menghadapi Ramadhan juga..

    ReplyDelete