Wednesday, December 28, 2011

HALAQAH-HIJAU

Assalamu'alaikum =D

Semalam saya ada menonton rancangan Halaqah di TV9 yang membawa tajuk HIJAU. Ia dipenalkan oleh penceramah terkenal Dr. Danial Zainal Abidin. Buku pertama beliau yang saya baca ialah Quran Saintifik yang dihadiahkan oleh guru saya. Sejak itu saya mula mengikuti perkembangan karya-karya dan ceramah-ceramah beliau.

Muqaddimah yang beliau berikan sangat menarik perhatian saya. Beliau menjelaskan tentang penemuan sains dalam ayat 80 Surah Yasin.

"Tuhan yang telah menjadikan api dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon tersebut."
(Surah Yasin :80)

Beliau mengatakan mengapa Allah menekankan tentang pohon-pohon yang hijau. Dalam pohon hijau, ade pigmen berwarna hijau yang bernama klorofil yang berperanan penting dalam proses fotosintesis. Sebuah proses yang berlaku di dalam daun, di dalam kloroplast, di mana salah satu hasil daripada proses tersebut ialah oksigen. Seperti yang kita maklum, pembakaran hanya akan berlaku dengan adanya kehadiran oksigen. Jika tiada oksigen, maka proses pembakaran atau 'combustion' tidak akan dapat berlaku.

Banyak lagi yang dikongsi oleh Dr. Danial tentang kepentingan menjaga hubungan dengan alam sekitar kurniaan Allah S.W.T. Bagaimana cara manusia melayan alam sekitar memberi kesan yang signifikan terhadap kehidupan manusia secara keseluruhannya. Maka, apabila manusia merosakkan alam sekitar membawa maksud bahawa manusia sedang memusnahkan umat manusia itu sendiri kerana kehidupan manusia dan alam sekitar itu saling bergantung. Itu merupakan sunnatullah yang tidak dapat kita elakkan. Allah juga mencela orang-orang yang melakukan keroskan di muka bumi ini sebagai makhluk perosak.

"dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan".(Surah al-Qasas : 77)

Setakat itu sahaja yang mampu dikongsikan di sini untuk kita renungi kebesaran Allah S.W.T dan mukjizat al-Quran bagi mengukuhkan lagi keimanan di dada. Semoga bermanfaat, insyaAllah.

“Orang yang mengingati Allah ketika berdiri dan duduk ketika berbaring dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (mereka mengatakan): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada seksa neraka." (Surah al-Imran : 191)

No comments:

Post a Comment