Assalamu'alaikum =D
Saya seorang penghuni kubur yang hanya bermusafir di alam dunia ini. Misi hidup adalah untuk mencari keredhaan Allah dan menggapai rahmatNya. Pada mulanya, rahmat Allah itu disangka hanya datang dalam bentuk kesenangan seperti kekayaan, kejayaan dalam peperiksaan, dapat bersama di sisi keluarga dan sebagainya. Alangkah dangkalnya kefahaman tentang kasih sayang Allah pada waktu itu. Disangkanya semua itu adalah punca kebahagiaan. Sedangkan bahagia itu datang dari Allah bukan dari makhlukNya dan jauh sekali dalam bentuk material.
Sungguh, rahmat Allah itu sungguh luas. Tidak akan tercapai oleh akal manusia yang serba lemah ini kerana Dia jualah yang Maha Mengetahui segala yang tersurat dan tersirat. Segala yang terjadi ada hikmahnya. Siapalah kita untuk mempersoalkan ketentuanNya.
"Hai jama’ah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, Maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusnya kecuali dengan kekuatan. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" (Surah Ar-Rahman : 33-34)
"Apakah (pantas) Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui? Dan Dia Maha halus, Maha Mengetahui." (Sural al-Mulk : 14)
Ramai yang mengaku dirinya beriman tetapi apabila diuji sedikit dengan kesenangan mahupun kesusahan, mulalah dia lupa akan asal-usulnya dan yang paling penting lupalah juga dia bahawa dunia ini hanya sementara. Tenggelamlah dia dalam tipu daya dunia ini.
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. ” (Surah Al-Ankabut : 2,3)
“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?.” (Surah Ali-Imran : 142)
Telah menjadi sebahagian daripada lumrah hidup, manusia sering disakiti oleh manusia di sekelilingnya. Ada yang dijadikan sebagai bahan tawa, dihina dan dicaci, difitnah dan sebagainya. Kadangkala terasa bahawa hidup tidak lagi bererti. Bangkitlah wahai diri, sedarlah bahawa itu juga salah satu bentuk kasih sayang Allah terhadap kita. Sedarlah kita bahawa Allah inginkan hambanya untuk kembali kepadaNya. Dia sentiasa rindu pada rintihan hamba-hambaNya yang beriman. Kembalilah kita kepadanya. Hentikanlah kebergantungan kita kepada makhluk yang akan mati dan sandarkan harapan kita pada Allah yang kekal selamanya. Tentunya perasaan sedih dan kecewa akan menghindari sanubari kita.
"Wahai jiwa-jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu." (Surah al-Fajr : 27-30)
Marilah kita merebut CintaNya dalam kehidupan. Sudah pasti kebahagiaan akan menjadi milik kita baik di dunia mahupun di akhirat. Mari kita bebaskan diri dari gari yang mengikat diri kita dengan dunia dan makhluk jika tidak ingin tergolong dalam kalangan orang yang rugi. Biar kita ditegur oleh Allah di dunia ini asalkan kita terbebas dari azab api neraka. Kadangkala kita hanya akan sedar kita perlu bertindak apabila sensitiviti kita telah disentuh. Kadangkala kita hanya akan berhenti menghina orang lain setelah diri kita dihina. Kadangkala kita hanya akan berasa simpati terhadap orang lain setelah kita ditimpa dengan musibah. Kadangkala kita hanya akan bersyukur apabila nikmat itu ditarik oleh Allah. Maka beruntunglah kita apabila Allah menyedarkan diri kita dari kelalaian melalui musibah. Bertaubatlah kita kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Penerima taubat.
“Sesungguhnya penerimaan taubat itu diterima oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’: ayat 17)
Dengan adanya ujianlah kita dapat merasai kemanisan iman. Betapa indahnya perasaan hati kita apabila bergantung pada Allah. Begitu juga dengan hikmah mengapa manusia tidak terus diberikan syurga dan harus tinggal di dunia sebelum ditentukan tempatnya sama ada syurga atau neraka. Jika kita terus ditempatkan di syurga, kita tidak akan merasai perasaan nikmat yang sama dengan apabila kita telah berjihad di bumi Allah. Sama seperti air sejuk paling nikmat diminum setelah penat lelah melakukan kerja berat.
"Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah al-Ra`d : 28)
No comments:
Post a Comment