Thursday, December 24, 2009

Satu Langkah ke Hadapan

Assalamu'alaikum..=D

Lama benar saya tak update blog ini. Sejak abang saya balik,saya harus berebut untuk menggunakan kemudahan internet. Kalau dapat pun tak lama. Apa boleh buat, sabar sahaja.

Alhamdulillah, hari ini saya telah mendapat keputusannya. Terima kasih atas ucapan tahniah kalian walaupun saya tahu bahawa kalian menjangkakan yang lebih baik dari saya. Maaf sekiranya ada yang kecewa. Maaf juga sekiranya ada ucapan tahniah yang tidak sempat untuk saya balas. Walaubagaimanapun, saya tetap menghargainya,

Tahun baru bakal tiba. Awal muharam sudahpun berlalu. Sudah masanya untuk saya menanam azam yang baru dan meneruskan perjuangan yang masih belum berakhir. Saya akan memulakan sesi tahun hadapan dengan suasana yang baru. Harapan saya ialah semoga saya dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam suasana yang baru.

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
(Surah Al-Insyirah,ayat 6)

Ayat yang menghilangkan rasa kesal dan kecewa dalam diri saya. :)

Thursday, October 29, 2009

Mahabbah-Mu

Assalamu'alaikum..=D


Mahabbah-Mu,
Tidak mengira waktu
Saat ku tenggelam
Dalam lautan nikmat-Mu
Kau unjukkan peringatan
Bagaikan pelampung yang tiba
Saat ku hampir lemas.
Sungguh, kayanya Kau dengan rahmat

Mahabbah-Mu,
Pasti tiba
Saat jiwaku tandus dan gersang
Kau siramkan dengan cinta-Mu
Hingga bercambahnya ketenangan
Menghasilkan kawasan yang subur
Bertukar dari darul harab
Menjadi Darussalam.
Sungguh, indahnya rahmat-Mu

Mahabbah-Mu,
Tak kusangka
Saat dunia membelakangiku
Kau hadirkan mereka yang menyayangiku
Membimbingku ke jalan-Mu
Memberi tarbiyyah
Hingga lahirnya insan jadid
Yang lebih bermakna hidupnya.
Sungguh, rahmat-Mu berada di segenap tempat.

Mahabbah-Mu,
Hadir dalam setiap waktu
Bagaikan mengalir dalam darahku
Seakan tiba bersama
Dalam setiap helaan nafasku
Jangan pula Kau biarkan ia
Pergi bersama hembusan nafasku.
Sungguh, tak tersangkal warkah cinta-Mu

“Dan rahmatKu amat luas meliputi segenap sesuatu.” [Al-A'raf 156]

Sunday, October 25, 2009

Assalamu'alaikum =D

Alhamdulillah peperiksaan sudah pun berakhir. Sekarang masih lagi menunggu untuk keputusannya keluar. Semoga segala usaha membuah kepada hasil. Saya sangkakan selepas peperiksaan berakhir saya ada banyak waktu lapang tetapi sangkaan itu salah sama sekali kerana banyak program yang telah disediakan buat kami. Antaranya ialah jualan amal atau "charity sale" dan lawatan ke rumah anak yatim. Terima kasih buat pihak yang menyediakan aktiviti yang berfaedah buat kami.

Sebelum peperiksaan bermula, ustaz minta kalau boleh selepas habis sahaja imtihan habiskan hafal dan tasmi' juz yang sedang dihafal sebelum cuti bermula. Saya pun bersemangat untuk menghabiskannya. Tetapi sampai sekarang saya tak tasmi' lagi dengan ustaz walaupun satu muka surat. Sungguh mengecewakan. Harap saya boleh mencuri masa untuk bertemu dengan ustaz untuk memperdengarkan hafalan saya. Siapa-siapa yang mempunyai tips untuk memudahkan dan menguatkan hafazan, harap boleh kongsi di sini.

Sekarang ini, masih sibuk menguruskan program yang akan datang iaitu lawatan 3 hari 2 malam ke Melaka dan menjadi fasilitator untuk pelajar tahun 6. Juga berusaha untuk menghabiskan membaca buku-buku yang tertangguh bacaannya.

Terasa ganjil untuk menyusun kata-kata setelah lama tidak meninggalkan sesuatu di blog sehinggakan ayat pun berterabuh dan masih belum bersedia untuk membincangkan isu yang serius.

Friday, August 7, 2009

superheroes vs supervillains

Assalamu'alaikum..

Apabila disebut perkataan 'superhero' dan 'supervillain', pasti akan terlintas di fikiran cerita-cerita fiksyen terutamanya dari Hollywood. Sebut saja superman, spiderman, dan macam-macam jenis man lagi :p. Tema yang sering diterapkan ialah sang penjahat ataupun supervillain ingin menakhluki dunia dan sang wira ataupun superhero pula akan datang untuk menyelamatkan dunia.

Sebenarnya ramai yang tidak sedar bahawa kisah tersebut bukan hanya ada pada cerita-cerita fiksyen tetapi turut wujud dalam dunia sebenar. Mungkin ramai yang sedar tentang penjahat-penjahat yang melakukan jenayah-jenayah yang kejam. Tapi tidak ramai yang tahu ataupun tidak ambil tahu tentang wujudnya kuasa jahat yang ingin menakhluki dunia. Ianya kedengaran fiksyen tapi itulah hakikatnya.

Sebenarnya saya ingin membincangkan tentang isu-isu semasa berkaitan dengan komuniti Islam. Sebelum itu, saya selitkan antara contoh peristiwa yang sedang berlaku yang mendapat perhatian saya dan mungkin juga orang ramai.

Selatan Thai
Semua pasti ingat tragedi di mana 11 orang ditembak mati sewaktu menunaikan solat Isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan (Sg Golok). Banyak lagi tragedi seperti itu. Antaranya;
Seorang mudir sebuah sekolah agama di kampung Ai Saktia, Bukit, Narathiwat ditembak mati di depan rumah kedai miliknya. Sebelum kejadian tersebut, beliau pernah ditahan selama dua bulan di penjara Bangkok kerana disyaki memimpin Jemaah Islamiah (JI) dan Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO).
Ramai lagi mangsa-mangsa yang telah ditawan, didera dan dibunuh di selatan Thai yang kebanyakannya golongan imam, mudir dan guru-guru agama. Alasan pihak yang bertanggungjawab atas kejadian-kejadian tersebut adalah kerana individu-individu yang kuat agama itu adalah pengganas dan majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh pihak Islam didakwa bertujuan untuk menghasut orang ramai untuk membelakangi kerajaan.

Mesir
Untuk kisah di Mesir, saya link kan ke entry dari akhi farid
klik di sini

Singapura
Ini kisah yang dibaca dalam sebuah buku yang bertajuk "Memeluk Gerhana". Walaupun latar masa yang jauh ke belakang, tetapi masih dapat dikaitkan dengan keadaan sekarang. Meskipun bukan berbentuk fakta, tetapi menunjukkan situasi sebenar pada zaman tersebut. Seorang pemuda yang mengikuti kumpulan usrah ditangkap oleh pihak polis bersama ahli-ahli yang lain, diseksa dan dipastikan bahawa mangsa mempunyai masa depan yang gelap. Alasannya, risau akan timbulnya pihak yang akan bangkit menentang pemimpin yang sedang berkuasa atau pihak kerajaan.


Itu adalah antara kisah yang saya ketahui. Banyak lagi kisah penganiyaan orang Islam yang kalian sendiri pasti tahu. Persoalan yang saya ingin timbulkan ialah mengapa ianya bisah terjadi. Adakah kerana terlalu banyak kumpulan pengganas yang giat beroperasi sehingga terjejasnya keselamatan awam. Pernah seseorang berkata kepada saya berkenaan dengan tragedi berdarah di Selatan Thai, "Agak-agaknya kalau ramai muslimin yang memenuhi Masjid Al-Furqan, boleh atau tidak terjadinya tregedi itu? Mana tidaknya orang boleh menembak dengan suka hati apabila hanya beberapa orang yang berada di dalam masjid tersebut.". Ingin saya selitkan perbandingan daripada Al-Farabi dalam kitabnya Al-Madina al-fadila (Bandaraya yang baik). Sebagai perbandingan, Al-Farabi memberi empat jenis bandaraya yang berbeza-beza :

- bandaraya jahil = warganya mengejar sifat-sifat baik di dalam sesuatu dan padanya tidak ada pembohongan.

- bandaraya cabul = warganya tahu di mana ada kebaikan tetapi tidak melakukannya.

- bandaraya sesat = warganya sudah keruntuhan daripada kebaikan-kebaikan yang ada padanya dahulu.

- bandaraya rosak = mempunyai para guru yang palsu dan warganya mengejar ilmu-ilmu yang palsu.
(Mahdi, 1963)

Mari kita nilai dalam kategori manakah terletaknya kita.

Apa kaitannya semua ini dengan superhero dan supervillain?
Mudah sahaja. Mari kita berkenalan dengan watak supervillain. Kita semua, umat manusia sedunia sedang berada di bawah sebuah kuasa jahat iaitu yahudi dan nasrani yang sememangnya musuh Islam nombor satu. Penakhlukan kuasa yang mereka impikan selama ini merupakan satu rancangan yang hampir berjaya. Bagaimana kita ingin menyekat perkara ini daripada berlaku. Strategi yang mereka gunakan tersusun dengan baik sekali. Kita bukan bercakap tentang perancangan selama 30 40 tahun tetapi sebuah perancangan sejak beratus-ratus tahun lagi. Firman Allah swt,

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya). Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. (QS. 2:120)

Justeru, mereka telah menyusun langkah mengatur stratergi untuk membawa manusia mengikuti agama mereka. Lihat sahaja, peningkatan kes murtad di negara kita amat membimbangkan. Tidak lupa juga golongan Islam yang hanya pada nama sahaja. Sesetengah pemimpin Islam juga ada yang anti-Islam dan menganggap bahawa gaya hidup Islam itu kolot. Nah, inilah stratergi mereka. Untuk mengajak kita sedikit demi sedikit ke arah kesesatan dengan menerapkan gaya hidup mereka secara perlahan-lahan dalam diri kita. Sepertinya mereka menyuntik racun ke dalam diri kita. Mereka sapukan dahulu sejenis bahan kimia supaya kita tidak merasakan apa-apa sewaktu disuntik. Membuatkan kita tidak sedar dan selesa dengan keadaan itu. Begitu juga dengan keadaan masyarakat kita yang sudah selesa dengan budaya mereka dan menjadikannya sebagai gaya hidup tatkala gaya hidup yang islamik sudah dianggap kolot. Sedar-sedar diri kita sudah rosak binasa kesan daripada racun tersebut.

Rasulullah pernah bersabda: ”Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512).

Kemudian, mereka mengenal pasti pula pihak-pihak yang berpotensi untuk menggagalkan rancangan mereka. Sebarang ancaman akan dihapuskan. Inilah yang terjadi pada mereka yang memperjuangkan kuasa yang lebih besar, yang Maha Besar. Tetapi mereka tidak perlu risau kerana mereka mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah SWT. Sebaliknya pula bagi mereka yang terjebak dalam kesesatan. Jauhnya mereka dari pertolongan dan perlindungan Allah SWT.

Selesai dengan watak supervillain, berganjak pula kepada watak superhero yang sepatutnya menyelamatkan dunia. Siapakah yang dapat menyelamatkan kita semua daripada tenggelam di dalam lautan yang penuh dengan kesesatan? Siapakah yang akan membawa bahtera menuju ke arah kebenaran? Umat manusia pernah diselamatkan oleh
wira kita iaitu Rasulullah SAW. Sekarang, siapakah yang akan menyambung perjuangan baginda? Siapa lagi kalau bukan kita. Setiap superhero pasti ada kekuatan dan kelebihan. Tunggu apa lagi, mari kita bina kekuatan tersebut! Mari bangkitkan semula zaman kegemilangan Islam. Bagaimana? Sesiapa boleh bagi jawapan? Jangan pula kita sesekali lupa dengan penyelamat kita yang paling agung. Hanya dengan izinNya kita boleh terselamat daripada kesesatan. Innallaha 'ala kulli syaiin qadir. Sesungguhnya Allah Maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Sedikit nasihat buat sahabat-sahabat saya. Hentikan sifat ambil mudah kalian dalam pelajaran dan mulalah serius. Sentiasa ingat bahawa kita sedang berjihad fisabilillah. Jauhi perkara-perkara yang membawa kepada kebejatan moral supaya kita tidak jauh dari redha Allah SWT.

Sabda Rasulullah saw.
إنَّ اللهَ لَيُعْجَبُ مِنَ الشَّبابِ الَّذي ليستْ لَه صَبْوَة .
Maksudnya : Sesungguhnya Allah mengkagumi pemuda - pemuda yang tiada baginya sebarang kerosakkan moral.
( Riwayat Ahmad dan Abu Yu’la )


sila klik di sini

Saturday, July 4, 2009

Takziah

Assalamualaikum

Beberapa minggu lepas kita dimaklumkan dengan kematian Sheikh Fathi Yakan. Selepas beberapa hari, saya pula dikhabarkan dengan kematian seorang kenalan saya. Arwah hanya satu tahun lebih tua daripada saya. 3 hari lepas pula saya dikhabarkan dengan berita kematian seorang lagi rakan saya yang baru berumur 21 tahun. Yang buatkan saya lebih sedih ialah terakhir kali saya berjumpa dengan arwah ialah 2 tahun lepas dan saya juga tidak bersempatan untuk melawat keluarga arwah kerana kesibukan. Untuk pengetahuan, arwah merupakan penghidap autisma. Tapi, saya seronok berkawan dengan arwah dan sewaktu saya kecil, kami sering ke mana-mana bersama. Saya pasti akan merinduinya.

Semoga roh-roh mereka dirahmati-Nya..

Apabila menerima berita kematian rakan-rakan. Membuat saya berfikir yang maut bisah mengundang saya pada bila-bila masa sahaja. Setiap orang memahami konsep maut yang mengundang kita tak kira usia sama ada tua atau muda. Tapi tidak ramai yang mengingati mati atau Zikrul maut.

"Perbanyaklah mengingat-ingat sesuatu yang melenyapkan dan menjadikannya segala macam kelazatan (kematian)." ( Riwayat At-Turmudzi )

"Perbanyaklah mengingati kematian, sebab yang demikian itu akan menghapus dosa dan menyebabkan timbulnya kezuhudan di dunia." ( Riwayat Ibnu Abiddunya )


Saya masih ingat lagi sewaktu saya masih di bangku sekolah rendah. Ketika itu, saya malas hendak solat. Saya sering dimaklumkan tentang bagaimana sakitnya mati, azab kubur dan seksaan api neraka. Pernah beberapa kali ketika saya memilih untuk terus tidur sebelum menunaikan solat Isyak. Sebaik sahaja saya cuba melelapkan mata, pelbagai bayangan tentang mati menjelma dalam fikiran saya. Jantung saya berdegup kencang dan saya rasa sedikit menggeletar. Akhirnya saya bangun dan menunaikan solat Isyak dan dapat tidur dengan lena.

"Cukuplah kematian itu sebagai penasihat." ( Riwayat Ath-Thabrani dan Baihaqy )

Apabila sudah meningkat ke peringkat sekolah menengah, situasi yang lebih kurang berlaku. Sekolah tamat pada pukul 4 petang dan saya selalunya sampai ke rumah sebelum waktu Asar. Dek kerana keletihan, selepas pulang saya sering merebahkan diri untuk rehat. Bila azan berkumandang, saya rasa berat untuk bangun dan rasa seperti ingin melelapkan mata sebentar. Tapi perkara yang sama berlaku di mana saya akan menjadi keresahan selagi tidak menunaikan solat. Saya sering teringat apa yang akan berlaku sekiranya nyawa saya diambil ketika saya menangguh solat. Nauzubillah..

Alhamdulillah, Allah SWT sentiasa memberi peringatan kepada saya. Allah SWT sentiasa memberi peringatan kepada kita semua. Peringatan-Nya ada di mana-mana sahaja. Contoh yang paling mudah ialah terpaparnya berita-berita tentang kematian di dada-dada akhbar mahupun melalui televisyen. Ianya terserah sama ada kita ingin mengambil iktibar daripada peringatan-peringatan yang Allah SWT tunjukkan kepada kita.

"Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya uantuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baka dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat." ( Riwayat Ibnu Majah dan Abiddunya )

Sunday, June 7, 2009

buku, buku dan buku

Assalamualaikum :D

Sekadar ingin berkongsi minat saya dalam membaca. Sekarang saya sedang berusaha menghabiskan buku yang berjudul "POLEMIK SEJARAH MALAYSIA" keluaran Arkib Negara. Buku ini amat menarik kerana ia mengkaji semula sejarah di Tanah Melayu sejak zaman protosejarah. Saya juga tertarik untuk mengkaji bahan bacaan ini kerana ia merupakan cadangan ayah saya sendiri untuk membetulkan semula apa yang salah dalam sejarah negara kita. Setelah 15 tahun hasil kajian dan pembentangan kertas kerja oleh pakar-pakar sejarah, maka terhasillah buku ini.



Yang paling menarik dalam buku ini ialah sejarah kedatangan Islam yang sebenarnya sampai di Tanah Melayu lebih lama daripada yang biasa kita ketahui. Kerajaan Islam pertama didirikan di rantau ini ialah kerajaan Islam Syi'ah di Perlak yang didirikan oleh seorang putera nakhoda bernama Sayid' Abd al-'Aziz pada tahun 225 H/840 M. Pada satu peringkat setelah datangnya aliran Sunni di rantau Tanah Melayu, Di Kelantan, Kedah dan Terengganu, khususnya di kawasan pedalaman masih cenderung kepada aliran Jabariyah yang lebih bersifat "tertutup" (konservatif) berbanding dengan aliran Qadariah dan pada masa masyarakatnya turut mewarisi/ dipengaruhi kosmologi Syi'ah yang mendewakan dan menyucikan pemimpin yang dianggap sebagai "bayangan Allah di muka bumi".



Selain daripada buku tersebut, saya turut menggemari koleksi Arkib Negara yang lain. Salah satunya ialah "ARKIB WARISAN EKSKLUSIF" yang mempamerkan banyak rekod tentang Tanah Melayu sejak zaman kegemilangan Melaka dalam bentuk mikrofilem yang amat menarik.

Saya juga meminati hasil sastera. Sudah menjadi hobi sejak 12 tahun mengumpul novel-novel sastera. Fungsi sastera adalah untuk menulis sejarah dalam bentuk yang menarik atau mengadakan sesuatu yang tidak ada. Contohnya pada zaman dahulu hasil sastera dijadikan sebagai sumber untuk menaikkan semangat tentera-tentera seperti Hikayat Muhammad Ali sewaktu zaman Melaka diserang Portugis. Antara koleksi novel yang saya miliki;





Ini (rujuk gambar di bawah) pula merupakan koleksi buku pertama saya sejak saya mula-mula tahu membaca. Ia merupakan koleksi ensiklopedia kanak-kanak yang menarik minat saya dalam sains. Setiap minggu pasti saya akan menghabiskan sebuah buku daripada koleksi tersebut. Gambar-gambar yang menarik dan penjelasan yang mudah membantu saya untuk menghabiskan seluruh koleksi buku tersebut. Apa yang saya baca sewaktu tadika dahulu masih lagi boleh diaplikasikan dalam kehidupan dan pembelajaran saya sekarang.



Antara buku lain yang menjadi pilihan saya:








Akhir sekali. Yang berada nombor satu dalam carta saya ialah tak lain dan tak bukan Al-Quran karim. Al-Quran bukan sahaja untuk dibaca tapi untuk dikaji dan diamalkan isinya (tadabbur al-Quran). Membacanya satu ibadah manakala mengamalkannya satu kewajipan. Setiap orang wajib memiliki sekurang-kurangnya senaskah tafsir al-Quran. Tetapi berhati-hati kerana ada tafsir yang membawa kepada penyimpangan aqidah. Mari kita mengkaji al-Quran bukan sebagai satu kitab kosong tapi satu kitab yang penuh misteri yang harus dibongkarkan!!=D

“Apakah mereka tidak tadabur al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya.” (Surah An-Nisak ayat 82)



Rasulullah saw. pernah bersabda (yang artinya): Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara: mencintai Nabimu; mencintai ahlul baitnya; dan membaca al-Quran karena orang-orang yang memelihara al-Quran itu berada dalam lindungan singahsana Allah pada hari ketika tidak ada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya; mereka beserta para nabi-Nya dan orang-orang suci. (HR ath-Thabrani).

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada jalan yang lebih lurus dan memberikan khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal shalih bahwa bagi mereka ada pahala yang besar. (QS al-Isra’ [17]: 9).

“Anda melihat manusia membaca al-Quran dengan cepat. Mereka membaca huruf-huruf al-Quran dengan suara yang baik (sebutan) yang baik. Mereka berdebat tentang baris di bawah, di hadapan dan baris di atas seakan-akan mereka sedang membaca syair-syair Arab. Merenungi maksud al-Quran serta mengamalkannya menjadi tidak penting bagi mereka. Adakah dalam dunia ini wujud keadaan terpedaya yang lebih daripada itu?” (Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali (terjemahan Prof. TK. H. Ismail Yakub MA), Pust. Nasional, 1981, Singapura, jil 6 hal 34)

Allah berfirman, “Dan mereka yang telah Kami berikan Kitab kemudian mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barang siapa yang ingkar terhadapnya mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah Al-Baqarah ayat 121)



dapat award



Assalamualaikum

Terima kasih kepada Wardatul Shaukah aka Kak Tini kerana sudi memberi 'award' untuk blog saya yang tak seberapa ni. Semoga ukhwah antara kita akan diberkati Allah. Amin.. Insyaallah pada masa akan datang saya akan sediakan 'award' istimewa untuk blog kalian.. Tunggu ya..=D