Monday, December 28, 2009

Tercari-cari Manisnya Iman??


Assalamu'alaikum..=D
Berikut adalah petikan daripada salah satu kitab Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah;

Manisnya iman dalam cinta kepada Allah dan Rasul-Nya

Tidak ada kebaikan dan kenikmatan di hati, selain dengan lebih mencintai Allah dan rasul-Nya dari selain keduanya. Juga menjadikan cintanya kepada selain Allah mengikuti cintanya kepada Allah SWT. Ia hanya mencintai Allah semata, seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis sahih,

" Tiga hal, siapa yang memilikinya, maka ia akan merasakan manisnya iman, iaitu orang yang lebih mencintai Allah dan Rasul-Nya dari selain keduanya; orang yang mencintai seseorang hanya kerana Allah; dan orang yang benci kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan Allah darinya, seperti bencinya ia jika dilempar ke neraka."
(HR. Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menerangkan bahawa seorang hamba tidak akan menemukan manisnya iman selain dengan menjadikan Allah lebih dicintai dari selain Dia, dan cintanya kepada Rasul-Nya merupakan sebahagian dari cinta kepada-Nya. Cinta kepada seseorang, jika kerana Allah juga merupakan sebahagian dari cinta kepada Allah SWT. Namun jika cintanya kerana selain Allah, maka cinta itu akan mengurangi dan melemahkan cintanya kepada Allah Ta'ala. Sedangkan yang membuktikan kejujuran cinta tersebut adalah membenci sesuatu yang dibenci oleh Sang Kekasih, iaitu kekafiran. Sama kedudukannya seperti dilempar ke neraka. "

Berikut adalah petikan dari buku 'Taman Para Pecinta'. Berdasarkan petikan di atas, jelas betapa pentingnya rasa cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Tentu sahaja ramai yang tahu bahawa perasaan cinta merupakan fitrah dalam diri setiap manusia. Apa itu fitrah? Fitrah dari segi bahasa bermaksud semulajadi manakala dari segi istilah pula bermaksud sesuatu yang semulajadi, wujud dalam diri manusia mengikut apa yang terbaik untuk kepentingan manusia itu sendiri.

Allah SWT hanya menetapkan yang terbaik buat kita. Perasaan cinta sepatutnya membawa kebaikan pada kita. Antara perkara baik yang sepatutnya kita dapat dari salah satu fitrah kita iaitu perasaan cinta ialah mendahulukan rasa cinta kepada Allah lebih daripada rasa cinta kepada diri sendiri. Ibnu Qyyim memberi perumpamaan apabila seseorang disuruh memilih antara menjadi kafir atau dicampakkan ke dalam api, di mana ia akan memilih dicampakkan ke dalam api. Mengapa ia dikatakan sesuatu yang baik? Kerana perasaan cinta yang Allah SWT kurniakan sabagai fitrah manusia telah kita gunakan untuk mendekatkan diri dengan Sang Pencipta kita. Segala yang kita lakukan semata-mata kerana Dia. Dengan itu, kita dapat menemui jalan yang benar yang dapat membawa kita kepada kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat

Sebaliknya pula apabila perasaan itu disalahgunakan. Dijadikannya alasan untuk menghalalkan apa yang haram. Ada yang satu langkah ke hadapan untuk mendekatkan diri dengan zina termasuk zina hati. Rasa rindu,kasih dan sayang disalurkan kepada insan yang tidak halal baginya. Jika itulah yang dikatakan indah, bagaimana lagi hendak merasakan indah dan manisnya iman itu. Sesungguhnya dia telah menyekutukan rasa cintanya kepada Allah. Dalam bab yang sama, Ibnu Qayyim mengatakan bahawa siapa yang menyekutukan antara Allah SWT dan selainnya dalam soal cinta ini secara khusus, bererti ia adalah seorang musyrik, orang yang berbuat syirik, yang tidak diampuni oleh Allah. Apabila perasaan itu membawa keburukan kepada kita, maknanya ia bukan lagi dari fitrah kita kerana ia sudah lari dari konsep fitrah yang sepatutnya membawa kebaikan kepada kita. Sebaliknya ia datang dari hawa nafsu dan bisikan syaitan.


"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)." (QS Al-Isra', ayat 32)

Selain itu, ada juga yang cintanya kepada dunia melebihi segala-galanya. Sedangkan dunia ini hanyalah sementara dan sekadar permainan dan senda gurau.

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.” (QS Al-Ankabut ayat 64)

"Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka Jahannam, ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir."
(QS. al-Isra',ayat 18)

Kesimpulannya, cintailah Allah dan Rasul-Nya melebihi segala-galanya dan rasailah nikmatnya iman. :D

Thursday, December 24, 2009

Satu Langkah ke Hadapan

Assalamu'alaikum..=D

Lama benar saya tak update blog ini. Sejak abang saya balik,saya harus berebut untuk menggunakan kemudahan internet. Kalau dapat pun tak lama. Apa boleh buat, sabar sahaja.

Alhamdulillah, hari ini saya telah mendapat keputusannya. Terima kasih atas ucapan tahniah kalian walaupun saya tahu bahawa kalian menjangkakan yang lebih baik dari saya. Maaf sekiranya ada yang kecewa. Maaf juga sekiranya ada ucapan tahniah yang tidak sempat untuk saya balas. Walaubagaimanapun, saya tetap menghargainya,

Tahun baru bakal tiba. Awal muharam sudahpun berlalu. Sudah masanya untuk saya menanam azam yang baru dan meneruskan perjuangan yang masih belum berakhir. Saya akan memulakan sesi tahun hadapan dengan suasana yang baru. Harapan saya ialah semoga saya dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam suasana yang baru.

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
(Surah Al-Insyirah,ayat 6)

Ayat yang menghilangkan rasa kesal dan kecewa dalam diri saya. :)