Saturday, August 25, 2012

Sesat dalam lautan,

mencari titik pertemuan.

Satu bahasa penghubung bicara,

sayangnya, begitu dalam ia terbenam.

Rindu pada daratan semakin parah,

hati lelah menunggu saat tersadai.

Akankan gelora ombak mengubah diri,

saat ditemui di tepian pantai.

Saturday, March 10, 2012

Seekor Kuda Liar

Wahai sang kuda,

mengapa dirimu begitu liar?

Berkali-kali dirimu kuikat,

namun terlepas jua.


Barangkali tali imanku begitu halus,

sehingga begitu mudah terputus.

Akhirnya kau bebas berlari.


Kini, aku bukan lagi tuanmu.

Kupujuk hati untuk sabar menanti,

keampuhan doa seorang musafir.


Zati Hanani

12.30 a.m.

11/3/2012

Saturday, March 3, 2012

Kemenangan yang Tidak Dijangka

Assalamu'alaikum =D

Perlawanan antara kelab Liverpool dan Arsenal malam tadi membawa keputusan yang tidak dijangka. Liverpool yang baru-baru ini merangkul Piala Carling 2011/12 dikalahkan oleh Arsenal dengan gol 1-2 di kandang sendiri. Siapa menyangka pada minit ke-92 Robin Van Persie berjaya menyumbatkan gol yang membawa kepada kemenangan.

Sungguh, apa yang saya suka tentang sukan adalah keputusan yang tidak dapat dijangka dan semangat untuk tidak mengaku kalah sebelum berjuang. Sentiasa ada secebis harapan untuk sang tikus mengalahkan sang gajah. Maka semangat seperti ini haruslah diterapkan dalam kehidupan kita. Sikap sentiasa optimis dalam menghadapi apa sahaja rintangan yang dilalui dalam liku-liku kehidupan.

Apabila kita renungi situasi zaman ini, kelihatannya pengaruh buruk mendominasi persekitaran kita. Untuk mereka yang berusaha untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran, masyarakat sering memandang rendah kepada mereka dan mengakatakan bahawa mana mungkin mereka dapat menghapuskan budaya jahiliyyah yang semakin berleluasa. Tetapi selagi hayat dikandung badan, perjuangan akan tetap diteruskan dan amanah akan tetap dipikul.

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik." (Al-Imran 3:110)


Usaha yang tidak putus-putus oleh para pendakwah tidak akan pernah sia-sia kerana Allah sentiasa menilai usaha kita dan hasilnya kita serahkan kepada Allah S.W.T. Tidak mungkin Arsenal boleh menang tanpa persediaan yang cukup. Jangan hanya kerana lawan kita itu jauh lebih besar, kita mengambil keputusan untuk menarik diri kerana itu bukanlah sikap orang muslim. Sebaliknya kita haruslah buat persediaan yang lebih baik daripada pihak lawan. Kenal lawan kita supaya kelemahan mereka akan dapat dikenalpasti. Dari situlah strategi dapat disusun.

“Dan sesungguhnya Allah menolong kamu di Badar, padahal (ketika itu) kamu adalah golongan lemah. Dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu bersyukur.”(Al-Imran 3:123)

Sebagai seorang muslim, kita tahu siapa musuh dan lawan kita. Ianya bukanlah pilihan bagi kita untuk menganggapnya sebagai musuh kerana telahpun Allah S.W.T terangkan kepada kita di dalam Al-Quran. Semua musuh Islam merupakan musuh kita. Jangan kita sesekali lihat mereka besar kerana Allah itu Maha Besar dan Allah telah menjanjikan kemenangan buat orang-orang yang berjuang di jalanNya. Sesungguhnya kemenangan yang hakiki dapat kita lihat di Akhirat nanti.

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan selengkapnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [al-Baqarah 2:208]


"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat". [An-Nasr: 1-3]

InsyaAllah, kita pasti akan menang!

Sunday, February 5, 2012

Cinta Nabi dan Cinta Masjid

Assalamu'alaikum. =D
Allahumma solli 'ala Muhammad!





Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kalian mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Al-'Imran 3:31)

Tahun lepas saya menghabiskan cuti awam sempena Maulid Nabi s.a.w dengan membaca buku ini. Tahun ini pula saya menghabiskan hujung minggu saya dengan menghadiri Karnival Cinta Masjid anjuran TV Al-Hijrah. Alhamdulillah, karnival tersebut diadakan di masjid yang tidak jauh dari kediaman saya. Saya cukup bersyukur kerana karnival ini dianjurkan tepat pada masanya apabila sejak kebelakangan ini kemanisan yang saya rasai sewaktu bekunjung ke rumah Allah s.w.t yang mulia ini semakin terhakis dek iman yang menipis.

Sungguh, dua hari yang saya telah luangkan di sana terasa sangat indah. Walaupun ada sesetengah pihak yang mengatakan bahawa 12 Rabiul Awal bukanlah tarikh sebenar kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan meraikan kelahiran baginda merupakan satu bid'ah. Bagi saya aktiviti-aktiviti seperti ini merupakan program orientasi bagi kita ummat Islam untuk melazimi selawat kepada baginda s.a.w. dan memupuk perasaan cinta akan Rasulullah s.a.w..

Pada 4 Febuari 2012, bersamaan dengan hari Sabtu saya menghadiri rakaman 60 minit Ustaz Don yang diadakan selepas solat fardhu Zuhur. Dalam sesi tersebut, Ustaz Don menekankan tentang kelebihan bagi mereka yang hatinya terpaut pada masjid dan adab-adab ketika di masjid. Alhamdulillah, perkongsian beliau telah menyuburkan kembali kemanisan yang saya rindui tatkala berkunjung ke tempat yang mulia ini. Isu-isu berkaitan adab-adab di masjid yang ramai di antara kita terlepas pandang turut dihurai dalam sesi tersebut terutamanya berkaitan dengan pakaian.

Malam hari pula, selepas solat fardhu Isya' terdapat siaran langsung Kuala Lumpur Berselawat. Acara ini agak istimewa bagi saya. Masih terngiang-ngiang selawat yang indah di telinga saya dan masih terkesan kedamaian dan ketenangan yang dirasai dalam majlis tersebut. Subhanallah, cukup indah. Mungkin ianya kesan daripada penghayatan dan keikhlasan daripada penyampai-penyampai qasidah dan nashid yang terdiri daripada kumpulam In-Team, Al-Mawlid dan para Ustaz. Bagaimanapun, saya agak kecewa melihat muslimin yang dalam golongan remaja atau belia berat mulut untuk turut serta berselawat ke atas Nabi s.a.w.

"Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” ( Hadis Riwayat At-Trimidzi )


Usai acara Kuala Lumpur Berselawat, terdapat dua sesi tazkirah oleh Prof. Madya Fauzi Deraman dan Habib Syed Najmuddin. Turut menyentuh soal cinta akan Rasulullah s.a.w dan masjid. Ringkas tetapi penuh pengisian, insyaAllah bermanfaat. Sementara menunggu sesi tazkirah yang kedua, waktu menghampiri jam 12 malam. Amer Munawer yang bertindak sebagai pengerusi majlis memberi semangat kepada para penonton untuk bersabar dan memohon kami semua untuk terus bertahan demi rahmatNya, insyaAllah. Selesai sesi tazkirah yang kedua, kami semua menikmati minum lewat malam yang disediakan pihak penganjur bersama-sama termasuk penyampai-penyampai Kuala Lumpur Berselawat.





Pada hari ini pula, terdapat perarakan ke masjid, tetapi saya tidak turut serta. Bagaimanapun saya berpeluang menyertai satu lagi sesi rakaman 60 minit Ustaz Don. Kali ini menyentuh soal cinta Nabi s.a.wa, banyak pencerahan yang saya dapat. Ustaz banyak megupas sirah-sirah Rasulullah s.a.w untuk menunjukkan kepada sidang hadirin bahawa betapa istimewa dan agungnya pembawa risalah Allah ini dan bukti betapa cintanya baginda s.a.w. terhadap umatnya. Tak lupa juga, kelebihan-kelebihan bagi mereka yang cinta kepada baginda s.a.w. turut ditekankan oleh beliau.

Hujung minggu saya kali ini merupakan yang paling bermakna bagi saya. Bagaimana dengan anda semua? Mari kita bersama-sama berselawat ke atas Rasulullah s.a.w. dan memohon syafaat baginda s.a.w.. Allahumma solli a'la Muhammad!

Alhamdulillah, Maulidur Rasul yang awesome. Subhanallah.
Allahuma solli 'ala Muhammad!

Saturday, January 21, 2012

Kekecewaan yang Indah

Assalamu'alaikum =D


"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." (Surah Al-Imran 3:200)


Sebagai insan, kita sering mengharap penghargaan manusia di sekeliling kita. Akibatnya, kita akan kecewa apabila sesuatu yang kita lakukan itu tidak dihargai ataupun tidak diiktiraf. Kita juga akan kecewa apabila tidak mendapat hasil yang kita harapkan. Rasa seolah-olah apa yang diusahakan selama ini sia-sia.

Kecewa, satu perasaan yang mampu mematahkan semangat dan memusnahkan harapan. Alhamdulillah, hari ini Allah kurniakan perasaan kecewa untuk saya belajar sesuatu. Sebenarnya, apabila kita mengharapkan sesuatu daripada manusia pastinya kita tidak dapat lari dari kekecewaan. Ini kerana telah menjadi sunnatullah bahawa manusia tidak mampu dipisahkan dari kelemahan. Tetapi jika kita mengharap kepada Allah, sudah tentu kita tidak akan kecewa kerana Allah itu Maha suci dari sifat-sifat yang lemah. Segala yang dijanjikan oleh Allah pasti akan terjadi.

Oleh itu, tetapkan semula niat kita supaya melakukan segala pekerjaan demi mengejar keredhaan Allah. Bersungguh-sungguhlah dalam segala urusan kerana Allah. Bersusah-susahlah dahulu di dunia sebagai pelaburan untuk nikmat di akhirat. Sungguh besar nikmat yang Allah janjikan buat khalifah-khalifahNya di muka bumi ini sehingga tidak terasa langsung akan kesusahan yang dilaluinya di dunia walaupun baru sesaat dipamerkan syurga di hadapannya.

"Sungguh, Al-Quran ini memberi petunjuk ke(jalan) yang paling lurus dan memberi khabar gembira kepada orang mukmin yang mengerjakan kebajikan, bahawa mereka akan mendapat pahala yang besar." (Surah Al-Isra' 17:9)

Wednesday, December 28, 2011

HALAQAH-HIJAU

Assalamu'alaikum =D

Semalam saya ada menonton rancangan Halaqah di TV9 yang membawa tajuk HIJAU. Ia dipenalkan oleh penceramah terkenal Dr. Danial Zainal Abidin. Buku pertama beliau yang saya baca ialah Quran Saintifik yang dihadiahkan oleh guru saya. Sejak itu saya mula mengikuti perkembangan karya-karya dan ceramah-ceramah beliau.

Muqaddimah yang beliau berikan sangat menarik perhatian saya. Beliau menjelaskan tentang penemuan sains dalam ayat 80 Surah Yasin.

"Tuhan yang telah menjadikan api dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon tersebut."
(Surah Yasin :80)

Beliau mengatakan mengapa Allah menekankan tentang pohon-pohon yang hijau. Dalam pohon hijau, ade pigmen berwarna hijau yang bernama klorofil yang berperanan penting dalam proses fotosintesis. Sebuah proses yang berlaku di dalam daun, di dalam kloroplast, di mana salah satu hasil daripada proses tersebut ialah oksigen. Seperti yang kita maklum, pembakaran hanya akan berlaku dengan adanya kehadiran oksigen. Jika tiada oksigen, maka proses pembakaran atau 'combustion' tidak akan dapat berlaku.

Banyak lagi yang dikongsi oleh Dr. Danial tentang kepentingan menjaga hubungan dengan alam sekitar kurniaan Allah S.W.T. Bagaimana cara manusia melayan alam sekitar memberi kesan yang signifikan terhadap kehidupan manusia secara keseluruhannya. Maka, apabila manusia merosakkan alam sekitar membawa maksud bahawa manusia sedang memusnahkan umat manusia itu sendiri kerana kehidupan manusia dan alam sekitar itu saling bergantung. Itu merupakan sunnatullah yang tidak dapat kita elakkan. Allah juga mencela orang-orang yang melakukan keroskan di muka bumi ini sebagai makhluk perosak.

"dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan".(Surah al-Qasas : 77)

Setakat itu sahaja yang mampu dikongsikan di sini untuk kita renungi kebesaran Allah S.W.T dan mukjizat al-Quran bagi mengukuhkan lagi keimanan di dada. Semoga bermanfaat, insyaAllah.

“Orang yang mengingati Allah ketika berdiri dan duduk ketika berbaring dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (mereka mengatakan): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada seksa neraka." (Surah al-Imran : 191)

Wednesday, December 21, 2011

Seindah lukisan alam

Assalaumu'alaikum =D



Sejenak mendongak ke langit, jelas terpapar kebesaran Allah Ta'ala. Semua mengakui keindahan lukisan alam ciptaan Ilahi. Tiada siapa menyangkal keindahan dan kehebatannya. Semua orang setuju dengan lukisan alam tetapi tidak semua orang setuju dengan lukisan takdir.

Kita sering mengeluh tentang kekurangan yang ada pada kita. Kita merungut tentang nasib buruk yang menimpa kita. Percayalah, segala yang telah Allah takdirkan buat kita ada kebaikannya bagi sesiapa yang percaya dan bersangaka baik kepada Allah.

"Dan boleh jadi kamu benci pada sesuatu padahal ia baik bagi kamu."(Surah al-Baqarah : Ayat 216)

Jangan sesekali kita menjadikan diri kita sebagai tuhan. Nafsu dan emosi jangan dijadikan pentadbir. Sentisa berdoa supaya kita tidak menjadikan diri kita pentadbir kepada diri sendiri walaupun sedetik kerana ia membawa kepada lembah kebinasaan.