Sunday, February 5, 2012

Cinta Nabi dan Cinta Masjid

Assalamu'alaikum. =D
Allahumma solli 'ala Muhammad!





Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kalian mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Al-'Imran 3:31)

Tahun lepas saya menghabiskan cuti awam sempena Maulid Nabi s.a.w dengan membaca buku ini. Tahun ini pula saya menghabiskan hujung minggu saya dengan menghadiri Karnival Cinta Masjid anjuran TV Al-Hijrah. Alhamdulillah, karnival tersebut diadakan di masjid yang tidak jauh dari kediaman saya. Saya cukup bersyukur kerana karnival ini dianjurkan tepat pada masanya apabila sejak kebelakangan ini kemanisan yang saya rasai sewaktu bekunjung ke rumah Allah s.w.t yang mulia ini semakin terhakis dek iman yang menipis.

Sungguh, dua hari yang saya telah luangkan di sana terasa sangat indah. Walaupun ada sesetengah pihak yang mengatakan bahawa 12 Rabiul Awal bukanlah tarikh sebenar kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan meraikan kelahiran baginda merupakan satu bid'ah. Bagi saya aktiviti-aktiviti seperti ini merupakan program orientasi bagi kita ummat Islam untuk melazimi selawat kepada baginda s.a.w. dan memupuk perasaan cinta akan Rasulullah s.a.w..

Pada 4 Febuari 2012, bersamaan dengan hari Sabtu saya menghadiri rakaman 60 minit Ustaz Don yang diadakan selepas solat fardhu Zuhur. Dalam sesi tersebut, Ustaz Don menekankan tentang kelebihan bagi mereka yang hatinya terpaut pada masjid dan adab-adab ketika di masjid. Alhamdulillah, perkongsian beliau telah menyuburkan kembali kemanisan yang saya rindui tatkala berkunjung ke tempat yang mulia ini. Isu-isu berkaitan adab-adab di masjid yang ramai di antara kita terlepas pandang turut dihurai dalam sesi tersebut terutamanya berkaitan dengan pakaian.

Malam hari pula, selepas solat fardhu Isya' terdapat siaran langsung Kuala Lumpur Berselawat. Acara ini agak istimewa bagi saya. Masih terngiang-ngiang selawat yang indah di telinga saya dan masih terkesan kedamaian dan ketenangan yang dirasai dalam majlis tersebut. Subhanallah, cukup indah. Mungkin ianya kesan daripada penghayatan dan keikhlasan daripada penyampai-penyampai qasidah dan nashid yang terdiri daripada kumpulam In-Team, Al-Mawlid dan para Ustaz. Bagaimanapun, saya agak kecewa melihat muslimin yang dalam golongan remaja atau belia berat mulut untuk turut serta berselawat ke atas Nabi s.a.w.

"Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” ( Hadis Riwayat At-Trimidzi )


Usai acara Kuala Lumpur Berselawat, terdapat dua sesi tazkirah oleh Prof. Madya Fauzi Deraman dan Habib Syed Najmuddin. Turut menyentuh soal cinta akan Rasulullah s.a.w dan masjid. Ringkas tetapi penuh pengisian, insyaAllah bermanfaat. Sementara menunggu sesi tazkirah yang kedua, waktu menghampiri jam 12 malam. Amer Munawer yang bertindak sebagai pengerusi majlis memberi semangat kepada para penonton untuk bersabar dan memohon kami semua untuk terus bertahan demi rahmatNya, insyaAllah. Selesai sesi tazkirah yang kedua, kami semua menikmati minum lewat malam yang disediakan pihak penganjur bersama-sama termasuk penyampai-penyampai Kuala Lumpur Berselawat.





Pada hari ini pula, terdapat perarakan ke masjid, tetapi saya tidak turut serta. Bagaimanapun saya berpeluang menyertai satu lagi sesi rakaman 60 minit Ustaz Don. Kali ini menyentuh soal cinta Nabi s.a.wa, banyak pencerahan yang saya dapat. Ustaz banyak megupas sirah-sirah Rasulullah s.a.w untuk menunjukkan kepada sidang hadirin bahawa betapa istimewa dan agungnya pembawa risalah Allah ini dan bukti betapa cintanya baginda s.a.w. terhadap umatnya. Tak lupa juga, kelebihan-kelebihan bagi mereka yang cinta kepada baginda s.a.w. turut ditekankan oleh beliau.

Hujung minggu saya kali ini merupakan yang paling bermakna bagi saya. Bagaimana dengan anda semua? Mari kita bersama-sama berselawat ke atas Rasulullah s.a.w. dan memohon syafaat baginda s.a.w.. Allahumma solli a'la Muhammad!

Alhamdulillah, Maulidur Rasul yang awesome. Subhanallah.
Allahuma solli 'ala Muhammad!

No comments:

Post a Comment