Saturday, July 4, 2009

Takziah

Assalamualaikum

Beberapa minggu lepas kita dimaklumkan dengan kematian Sheikh Fathi Yakan. Selepas beberapa hari, saya pula dikhabarkan dengan kematian seorang kenalan saya. Arwah hanya satu tahun lebih tua daripada saya. 3 hari lepas pula saya dikhabarkan dengan berita kematian seorang lagi rakan saya yang baru berumur 21 tahun. Yang buatkan saya lebih sedih ialah terakhir kali saya berjumpa dengan arwah ialah 2 tahun lepas dan saya juga tidak bersempatan untuk melawat keluarga arwah kerana kesibukan. Untuk pengetahuan, arwah merupakan penghidap autisma. Tapi, saya seronok berkawan dengan arwah dan sewaktu saya kecil, kami sering ke mana-mana bersama. Saya pasti akan merinduinya.

Semoga roh-roh mereka dirahmati-Nya..

Apabila menerima berita kematian rakan-rakan. Membuat saya berfikir yang maut bisah mengundang saya pada bila-bila masa sahaja. Setiap orang memahami konsep maut yang mengundang kita tak kira usia sama ada tua atau muda. Tapi tidak ramai yang mengingati mati atau Zikrul maut.

"Perbanyaklah mengingat-ingat sesuatu yang melenyapkan dan menjadikannya segala macam kelazatan (kematian)." ( Riwayat At-Turmudzi )

"Perbanyaklah mengingati kematian, sebab yang demikian itu akan menghapus dosa dan menyebabkan timbulnya kezuhudan di dunia." ( Riwayat Ibnu Abiddunya )


Saya masih ingat lagi sewaktu saya masih di bangku sekolah rendah. Ketika itu, saya malas hendak solat. Saya sering dimaklumkan tentang bagaimana sakitnya mati, azab kubur dan seksaan api neraka. Pernah beberapa kali ketika saya memilih untuk terus tidur sebelum menunaikan solat Isyak. Sebaik sahaja saya cuba melelapkan mata, pelbagai bayangan tentang mati menjelma dalam fikiran saya. Jantung saya berdegup kencang dan saya rasa sedikit menggeletar. Akhirnya saya bangun dan menunaikan solat Isyak dan dapat tidur dengan lena.

"Cukuplah kematian itu sebagai penasihat." ( Riwayat Ath-Thabrani dan Baihaqy )

Apabila sudah meningkat ke peringkat sekolah menengah, situasi yang lebih kurang berlaku. Sekolah tamat pada pukul 4 petang dan saya selalunya sampai ke rumah sebelum waktu Asar. Dek kerana keletihan, selepas pulang saya sering merebahkan diri untuk rehat. Bila azan berkumandang, saya rasa berat untuk bangun dan rasa seperti ingin melelapkan mata sebentar. Tapi perkara yang sama berlaku di mana saya akan menjadi keresahan selagi tidak menunaikan solat. Saya sering teringat apa yang akan berlaku sekiranya nyawa saya diambil ketika saya menangguh solat. Nauzubillah..

Alhamdulillah, Allah SWT sentiasa memberi peringatan kepada saya. Allah SWT sentiasa memberi peringatan kepada kita semua. Peringatan-Nya ada di mana-mana sahaja. Contoh yang paling mudah ialah terpaparnya berita-berita tentang kematian di dada-dada akhbar mahupun melalui televisyen. Ianya terserah sama ada kita ingin mengambil iktibar daripada peringatan-peringatan yang Allah SWT tunjukkan kepada kita.

"Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya uantuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baka dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat." ( Riwayat Ibnu Majah dan Abiddunya )