Monday, May 23, 2011

Debat

Assalamu'alaikum..:)

Alhamdulillah, akhirnya habis menduduki 24 kertas peperiksaan. Kalau disamakan menulis dengan berlari, memang semput menjawab soalan.Anaerobik respiration telah berlaku dan lactic acid dihasilkan dan terus menyebabkan kesakitan pada otot-otot. Begitulah keadaan saya. Belum sempat merehatkan diri, sudah harus mula buat persiapan untuk pertandingan debat yang akan saya sertai tidak lama lagi. Tapi saya masih bersyukur kerana waktu yang sibuk itu merupakan waktu di mana waktu kita dimanfaatkan dengan sepenuhnya dan dapat menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang lalai, insyaAllah.

Petang tadi semasa perbincangan dengan ahli kumpulan saya untuk debat bahasa Inggeris, kami lari daripada fokus. Topik telahpun ditukar menjadi isu peribadi. Maklumlah, semuanya perempuan. Mereka yang merupakan junior saya mengadu tentang masalah persahabatan yang mereka hadapi. Secara umumnya, masalah mereka ialah apabila sebuah persahabatan yang telah lama dibina tidak lagi kukuh dan tidak pula membina ke arah yang lebih baik.

Bagaiman apabila sahabat tidak lagi menghargai antara satu sama lain.Bagi masalah ini, pada pendapat saya mereka harus bersahabat dengan lebih ramai orang. Apabila kita hanya berada dalam satu kelompok yang kecil, kita mungkin tidak nampak kelebihan yang ada dalam kelompok kecil itu sendiri. Bila kita luaskan perhubungan kita, kita akan lebih memahami pelbagai ragam manusia dan daripada situlah kita akan mengetahui bahawa tidak semua orang boleh menerima sesuatu sikap yang ada pada diri kita meskipun ianya sikap yang baik. Hanya insan-insan yang istimewa yang berada di samping kita sahaja yang dapat menerimanya dan lebih baik, memperbaiki sifat buruk kita itu. Oleh itu, kita mestilah menghargai mereka yang berada di sisi kita saat suka dan duka. Bersahabatlah kerana mengharapkan kasih daripada Allah kerana daripadaNya sahaja sumber kebahagiaan kita di dunia dan di akhirat kelak..

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia. Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Sunday, April 10, 2011

Lebih dari itu

Assalamu'alaikum.. =D

Saya memang tidak berapa gemar musim peperiksaan. Bukan kerana terpaksa mengulangkaji pelajaran, tetapi kerana penat menulis. Banyak betul yang perlu ditulis dalam kertas jawapan. Jujur saya katakan sebelum ini saya agak memandang rendah kepentingan peperiksaan formal. Bagi saya ia hanya menekankan kefahaman kita pada fakta mata pelajaran tertentu semata-mata. Tidak lebih daripada itu.

Kini, pandangan saya terhadap peperiksaan formal telah berubah. Saya mula menyedari bahawa ia mengajar kita lebih daripada sekadar mengeluarkan fakta. Sebenarnya ia juga mengajar dan melatih kita tentang kehidupan dalam lingkungan yang lebih luas. Antaranya ialah ia mengajar kita bagaimana untuk mengurus masa dengan baik. Tentu sahaja dalam peperiksaan kita diberi jangka masa yang telahpun ditetapkan yang memerlukan kita untuk menjawab kesemua soalan dalam tempoh tersebut. Bukan dalam peperiksaan sahaja kita perlu mengurus masa supaya dapat menjawab kesemua soalan dengan baik, bahkan pengurusan masa merupakan aspek yang penting dalam kehidupan. Jika kita gagal menguruskan masa, maka kita juga gagal mengurus kehidupan kita.Kita perlu ingat bahawa perkara yang paling jauh dengan kita ialah masa lalu yang tak akan dapat kita sampai ke sana.

“Demi MASA. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali yang beriman dan yang beramal soleh.Yang berpesan-pesan dengan kebenaran. Dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran.”(Surah al-Asr)

Selain itu, kita juga dapat belajar tentang kepentingan membuat perancangan terutamanya ketika menjawab soalan berbentuk esei. Jika kita ingin menulis sebanyak 1000 patah perkataan, tentu kita perlu mengeluarkan isi-isi penting supaya tidak 'blank' ketika menulis jawapan. Begitu juga dalam kehidupan kita. Kita perlulah membuat perancangan supaya tidak terpesong dari matlamat. Seterusnya cara kita menjawab dengan mendahulukan isi-isi penting kemudian disertai dengan isi-isi sampingan seterusnya huraian turut mengajar kita sesuatu. Ia sebenarnya mengajar kita mendahulukan perkara-perkara yang penting dalam kehidupan kita tanpa meninggalkan perkara-perkara sampingan yang akan menyempurnakan lagi kehidupan kita seperti mana isi sampingan dan huraian menyokong dan menguatkan lagi isi penting.

Ketiga, dan paling penting ialah menjawab kehendak soalan dengan tepat dan kepentingan mengikut format. Menjawab kehendak soalan merupakan bahagian paling penting dalam menjawab peperiksaan. Jawapan kita haruslah merujuk kepada matlamat soalan dan kehidupan kita di dunia ini haruslah sejajar dengan matlamat atau sebab kita diciptakanNya. Saya pernah dengar ungkapan bahawa kehidupan ini tidak mempunyai arahan dan arah tuju, kita yang menentukan bagaimana kita hendak menghadapinya. Bukankah telah jelas bahawa sebagai umat Islam, kita telah ditinggalkann dengan panduan hidup yang lengkap iaitu al-Quran dan as-Sunnah dan bukankah matlamat hidup kita ialah untuk mencapai keredhanNya? Maka, dalam setiap perkara yang kita lakukan, pastikan dengan melakukan sedemikian kita akan memperoleh keredhan Allah S.W.T insyaAllah.

"Wahai Ahli Kitab! Sungguh, rasul kami telah datang kepadamu, menjelaskan (syariat kami) kepadamu ketika terputus (pengiriman rasul-rasul, agar kamu tidak mengatakan, "tidak ada yang datang kepada kami seorang pembawa berita gembira mahupun seorang pemberi peringatan." Sungguh, telah datang kepadamu pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. Dan Allah Mahakuasa atas segala sesuatu." (Surah al-Maidah:19)

"Tidak aku ciptakan jin dan manusia kecuali utk beribadat kepada-Ku".
(Surah Azzariayat:56).

“Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnahku.” (HR Malik bin Anas)

Dalam peperiksaan, saya sering kehilangan markah yang banyak kerana gagal mengikut format yang ditetapkan walaupun jawapan saya sebenarnya betul. Kehidupan juga mempunyai format yang perlu dipatuhi iaitu syariat yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. Sering kali kita dengar seseorang melakukan sesuatu perkara yang haram di sisi Islam dengan menggunakan alasan bahawa niat dan matlamat mereka baik. Tidakkah mereka tahu bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Sayang bukan, niat yang murni dicemari oleh pelaksanaan yang tidak syar'i. Oleh itu, selaraskanlah niat kita dengan tindakan yang berlandaskan syariat.

Saya hanya sentuh sewaktu proses menjawab soalan, belum lagi proses sebelum dan selepas peperiksaan. Nasihat kepada semua terutamanya diri sendiri, jangan sempitkan minda dengan memandang sesuatu perkara itu dari satu sudut sahaja. Luaskan pemikiran supaya segala sesuatu itu dapat memberikan kebaikan kepada diri kita dan orang lain di sekeliling kita.

Friday, April 1, 2011

Sekali lagi, Bulan Kesedaran Autisma

Assalamu'alaikum..



Post ini ada kaitan dengan post ini. Di situ saya ada nyatakan tentang sahabat saya yang menghidap autisma. Tidak lama selepas itu, saya dikhabarkan dengan berita kematiannya yang saya nyatakan di sini. Harap sesiapa yang membaca dapat bersama-sama menghadiahkan al-Fatihah untuk arwah.

Tuesday, March 15, 2011

Jangan berputus asa

Assalamu'alaikum..



Pada 25 sehingga 26 februari, saya telah menyertai sebuah kem ibadah (mukhayyam tarbawi) sebagai seorang fasilitator. Temanya ialah Asma' Allah dan setiap kumpulan telah diberikan 10 nama-nama Allah untuk dibincangkan dalam usrah. Kumpulan saya membincangkan 10 nama terawal dalam 99 Asma'ul Husna. Saya lebih menekankan kepada sifat Allah yang Ar-Rahim. Antara kisah yang saya kongsikan bersama ahli usrah saya adalah sebuah kisah yang diceritakan oleh seorang guru saya. Kisahnya;

Salah seorang pensyarah guru saya mempunyai seorang isteri yang bertugas sebagai peguam syariah. Klien peguam tersebut sangat runsing kerana kesnya tidak selesai-selesai walaupun sudah lama dibicarakan. Maka, atas sebab rasa kasih terhadap saudara seakidahnya itu, beliau pun mendekati kliennya untuk berkongsi sebuah doa. Doa yang dimaksudkan di sini ialah potongan surah Al-Qasas ayat 24.

Beliau menyapa dengan mengatakan "Sabarlah kak, banyak-banyakkan berdoa.". Kemudian wanita itu pun menjawab, "Akak dah puas dah berdoa. Tapi tak jadi apa-apa pun.". Sebaik sahaja mendengar jawapan wanita itu, peguam tadi pun terus lupa doa yang ingin dikongsi bersama kliennya. Walau setelah bersungguh-sungguh untuk mengingati doa tersebut, beliau gagal.

Akhirnya beliau pulang ke rumah dan bertanyakan doa itu kepada suaminya. Setelah dinyatakan oleh suaminya, barulah beliau ingat kembali akan doa tersebut.

Ingin dinyatakan di sini, sikap wanita tersebut yang berputus asa untuk berdoa kepada Allah menunjukkan bahawa dia berputus asa terhadap rahmat Allah. Maka Allah telah menutup pintu rahmat-Nya ke atas wanita tersebut. Mungkin sahaja jika doa itu dapat dikongsikan bersama wanita tersebut dan dia mengamalkannya, insyaAllah urusannya dipermudahkan Allah.

“…dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” -Surah Yusuf ayat 12.

Setiap manusia tidak akan lepas daripada menerima ujian daripada Allah sama ada sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besar ujian. Allah tidak akan membebani hambanya di luar kemampuan hambanya. Sepatutnya ujian yang kita hadapi dapat membawa diri kita lebih dekat dengan Allah dan bukan pula sebaliknya.

"Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak Diuji? Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta (dalam keimanannya)" (Surah Al-Ankabut: 2-3)

"Barangsiapa yang tidak meredhai qadha-Ku dan tidak bersabar atas bencana yang Aku timpakan atasnya, maka carilah Tuhan selain dari pada-Ku" (HR Thabrani)

“Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadap-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu. Jika dia mengingatiKu di dalam hatinya maka Aku mengingati dia di dalam hati-Ku, dan jika dia mengingati-Ku dalam perhimpunan maka Aku ingati dia dalam perhimpunan yang lebih baik (yakni jemaah para malaikat). Apabila hamba-Ku mendekati-Ku sejengkal, maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta, maka Aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari” (Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Tuesday, February 15, 2011

ku damba cintamu

Assalamu'alaikum..



Pada hari ini saya meluangkan masa saya membaca sebuah buku baru terbitan PTS. Sungguh, memang saya mendambakan cintanya. Tapi layakkah diri yang hina ini untuk mendapatkan cintanya?

Pasti kita semua tahu betapa besarnya rasa cinta baginda Rasullah s.a.w kepada umatnya. Waktu hidupnya, baginda berkorban untuk menyampaikan Islam kepada ummatnya yang amat dicintai. Di hujung hayatnya baginda masih ingat akan ummatnya. Bahkan sekarang, sehingga hari kiamat sekalipun kasihnya kepada ummatnya tidak pernah luntur.

Tetapi kasihkah kita pada baginda? Apa perasaan anda jika insan yang paling anda sayangi, yang anda sanggup berkorban untuknya tetapi dia tidak menghargai kasih anda apatah lagi membalasnya? Cukupkah kita dengan hanya sekadar menyebut-nyebut nama baginda tetapi tidak mengamalkan sunnahnya dan meneruskan perjuangannya dalam menyebarkan nikmat Islam kepada sekalian manusia?

Nabi berkata, " Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku ini, iaitu nabi Muhammad kasih kepada dirinya melebihi kasih dari keluarga, harta dan manusia semuanya."
(Riwayat Muslim)

Ibn Hajar al-Asqalani memberi ulasan tentang hadis yang maksudnya hampir sama dengan hadis di atas. Pengarang buku al-Mufhim berkata, "Ada orang yang membesarkan orang lain tetapi hatinya kosong dari mencintainya. Justeru, membesarkan seseorang tidak bererti kasih kepadnya. Apabila tidak ada kecenderungan dalam hatinya mengasihi nabi, imannya tidak sempurna."

Antara cara untuk menimbulkan rasa kasih kepada Rasulullah s.a.w adalah dengan menghayati al-Quran dan sunnah. Nabi tidak meninggalkan ummatnya harta yang bertimbun tetapi Nabi meninggalkan al-Quran dan sunnah buat kita yang menjadi pembimbing sepanjang zaman. Selagi ada al-Quran dan sunnah, nabi terus menjadi saksi sama ada atas kelakuan baik ataupun kelakuan jahat manusia.

Nabi sudahpun menyampaikan kepada kita. Kita perlu menerima, beriman dan membenarkannya.

Apabila rasul-rasul dan umat manusia bertelingkah di hadapan Allah di padang Mahsyar kelak, sebahagian umat medustakan rasul-rasul mereka.

Mereka berkata "Tidak pernah seorang pemberi amaran pun yang datang kepada kami."

Rasul menjawab, "Kami sudah sampaikan kebenaran dan amaran kepada mereka."

Allah berkata, "Siapa menjadi saksi kamu?" Para Rasul menjawab, "Muhammad dan ummatnya."

Umat Muhammad datang dan menjadi saksi para rasul menyampaikan.

Allah berkata, "Bagaimana kamu tahu?"

Umat Muhammad menjawab, "Nabi kami memberitahu para rasul menyampaikan. Lantas kami membenarkan."

(Riwayat Bukhari)


Sekuat manakah cinta kita kepada baginda? Mahukah baginda menerima kita sebagai ummatnya? Ya Rasulullah, semoga pada hari di mana aku memerlukan syafaatmu, engkau menerimaku sebagai umatmu dan menyambutku dengan senyuman, dengan penuh rasa kasih. Wahai kekasih Allah, sesungguhnya aku amat merinduimu. Wahai cahaya di atas cahaya, semoga dengan bimbinganmu aku dapat melepaskan diri dari permainan dunia yang penuh dengan helah yang licik. Wahai pembawa rahmat, semoga aku dapat menjadi umatmu yang terbaik dan berjaya mendapat cintamu seterusnya mencapai redhaNya.

Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w sebagai manifestasi cinta kita kepada baginda.

Saturday, January 15, 2011

Sebuah Perjalanan

Assalamu'alaikum..

Saya mempunyai seorang bapa saudara yang sangat minat membaca. Sewaktu beliau bertandang di rumah saya, saya menunjukkannya buku-buku yang saya baca. Beliau bertanya apa yang saya suka tentang buku-buku tersebut. Maka saya jawab kerana ceritanya yang menarik dan diselit dengan fakta-fakta yang berguna. Kemudian beliau memberikan komentar yang mengubah penilaian saya terhadap sesuatu bahan bacaan. Katanya;

"Penggunaan bahasa dan jalan cerita hanyalah sebagai satu alat untuk membawa pembaca kepada mesej dan idea yang ingin disampaikan oleh penulis. Jalan cerita merupakan satu perjalanan menuju ke satu destinasi yang ingin dibawa oleh penulis. Dengan mengamati sesuatu karya juga kita dapat memahami pemikiran si penulis. "

Saya pernah tertanya-tanya kenapa beliau gemar membaca karya-karya sastera inggeris. Sekarang baru saya faham bahawa ianya salah satu cara untuk memahami cara orang-orang barat berfikir. Mengapa kita habiskan masa untuk membaca sebuah karya hanya untuk mengetahui sebuah cerita sedangkan kita boleh dapat lebih daripada itu. Carannya adalah dengan membawa pemikiran kita ke tahap yang lebih tinggi.

Untuk menambahkan lagi pemahaman saya, saya telah membaca sebuah karya sasterawan negara Shahnon Ahmad yang bertajuk KESASTERAWANAN: KEPOLITIKAN KEALAMAN KEDIRIAN KEMANUSIAAN. Buku ini sangat menarik kerana ianya ditulis secara spontan untuk menerangkan tentang bidang kesasterawanan. Antara isi yang menarik perhatian saya ialah:

"Kesasterawanan sinonim dengan kehalusan, baik kehalusan jalinan kisah manusia dan kemanusiaannya, mahupun kehalusan wawasannya."

"Dalam alam kesasterawanan yang besar, wawasan bukan sahaja indah dan halus tersifat dalam jalinan-jalinan kerahsiaan perwatakan yang canggih dan pelbagai, bukan sahaja terpendam jauh ke dalam lubuk-lubuk kisah yang berbelit dan perlu diterokai dan dipugar sedalam-dalamnya untuk menghayatinya tetapi juga kadang-kadang menuntut daya kekuatan yang luar biasa untuk menjenguk wawasan yang wujud sedemikian rupa. Dia tidak ada kalau dilihat sekali imbas dengan daya persepsi yang tohor tetapi dia ada bila persepsi itu digabungkan dengan analisis yang kritis serta mengorek maknanya melalui simbol-simbol yang kadang-kadang begitu personal sifatnya. Wawasan itu pula tidak wujud dalam ketulan-ketulan yang pejal dan berdaging seperti masaknya yang terhidang tetapi ianya cuma boleh dirasa sesudah menjamah, mengunyah dan menelannya, malah kadang-kadang lama sudah melalui proses pengunyahan, penelanan itulah baru terasa keberkesanan keindahan dan kebenarannya kerana wawasan itu menjerap masuk ke dalam darah yang mengalir melalui urat saraf dalam tubuh dan muncul dalam pemikiran dan emosi kemudian."

Saya juga pernah diajar oleh guru saya bahawa dalam sesebuah karya terdapat banyak elemen tetapi di penghujungnya kita akan dapat sesuatu yang lain. Sebagai contoh kek mengandungi bahan-bahan seperti tepung, telur dan gula tetapi apabila kek itu dimakan rasanya langsung tidak sama dengan memakan tepung sahaja atau telur sahaja atau gula sahaja. Sebaliknya bahan-bahan tersebut telah teradun dan menghasilkan satu rasa yang sememangnya berbeza.

Kesimpulannya, setiap kali menjamah sesuatu karya hayatilah setiap elemen dan adun elemen-elemen tersebut menggunakan akal supaya kita dapat sampai ke destinasi yang ingin dibawa oleh penulis.

Wednesday, November 10, 2010

Mencari Kesempurnaan Akhlak

Akhlak ialah perbuatan, perkataan, dan tingkah laku yang elok serta indah berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Islam dan akhlak yang mulia sememangnya tidak dapat dipisahkan. Rasululluh s.a.w. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak umat manusia. Ini bermakna akhlak yang baik itu penting dalam usaha mencapai kesempurnaan iman. Iman seseorang itu bergantung sejauh mana penghayatannya terhadap akhlak yang mulia.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW bersabda : Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya dan orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling banyak berbuat baik kepada isterinya.

Akhlak yang baik dapat menjaga hubungan manusia dengan penciptanya dan hubungan sesama manusia. Sebagai agama yang syumul, Allah s.w.t telah menetapkan adab-adab yang perlu kita patuhi dalam setiap aspek kehidupan seharian kita melalui Al-Quran dan sunnah . Terdapat pada Rasululluh s.a.w itu contoh yang terbaik buat kita.

Sesungguhnya, bagi kamu diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah "
(Surah al-ahzab ayat 21)

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.

Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung
(QS al-Qalam ayat 4)


Dr.Danial Zainal Abidin dalam bukunya “Tip-tip Cemerlang Daripada Quran” mengatakan bahawa tanpa akhlak dan budi pekerti, tidak akan ada kecermerlangan dan akhlak yang tinggi menjadi kekuatan yang penting dalam dakwah nabi. Dalam buku yang sama, Dr.Danial Zainal Abidin turut menyatakan cara-cara membentuk akhlak.

"Bagaimana Membentuk Akhlak?

Ramai orang gagal memperbaiki akhlak mereka kerana mereka tidak mengenali kelemahan diri sendiri. Mereka sering terpedaya dengan diri sendiri dengan merasakan akhlak mereka sudah cukup baik. Di dalam Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali, dalam bab Latihan Jiwa, Permurnian Akhlak dan Pengubatan Penyakit Hati, mengutarakan beberapa kaedah yang boleh digunakan bagi mengubah akhlak individu.
1. Berguru dengan guru yang mampu mendidik kita. Guru itu mestilah seorang yang bersih hatinya dan mantap agamanya. Beliau mampu melihat kelemahan yang ada pada diri kita dan mampu memberikan petunjuk berkaitan dengan cara memperbaiki diri dan mengubati kelemahan itu.

2. Berkawan dengan seorang yang baik serta mantap agamanya. Sahabat kita itu dapat membantu kita bagi memperbaiki akhlak dan kita perlu menerima teguran ikhlas daripadanya. Inilah jalan yang pernah dilalui oleh tokoh-tokoh Islam sebelum ini. Sahabat Omar bin Khattab pernah bertanya kepada Salman Farisi, "Apakah kelemahan yang kamu ketahui tentang diriku?" Sahabat Salman terus menyebutkan dua kelemahan yang ada pada Omar dan Omar menerimanya dengan baik. Mengikut laporan yang lain, Omar pernah bertanya kepada Huzaifah, "Adakah kamu nampak dalam diriku tanda-tanda kemunafikan?" Sahabat Huzaifah berkata, "Tidak ada." Begitu;ah caranya sahabat-sahabat nabi bersahabat.

3. Memaafkan komen-komen negatif daripada musuh. Sepatutnya, manusia lebih banyak memaafkan komen musuh yang menceritakan berkenaan kekurangan dirinya daripada mendengar puji-pujian kawan yang mahu mengampunya. Individu-individu biasa menganggap komen-komen musuh sebagai pandangan yang tidak bernilai. Sebaliknya, individu-individu yang tajam mata hatinya suka mengambil manfaat daripada komen-komen itu.

4. Mengambil iktibar daripada kelemahan orang lain. Dalam pergaulan, kadangkala kita akan melihat perangai dan sifat negetif orang lain. Pada masa itu, kita perlu menjadikan kelemahan orang itu sebagai kelemahan kita yang perlu kita perbaiki. Jadikan orang lain sebagai cermin diri kita kerana orang mukmin itu cermin bagi mukmin lain. Nabi Isa pernah ditanya, "Siapakah yang medidik engkau?" Nabi Isa menjawab, "Aku melihat orang bodoh dengan kebodohannya dan (aku mendidik diri) dengan menjauhi kebodohan itu." "

Nabi s.a.w bersabda: “Barangsiapa dikehendaki oleh Allah kepadanya kebajikan, nescaya dianugerahiNya kepadanya teman yang baik. Kalau ia lupa, maka teman itu akan memperingatinya. Dan jikalau ia teringat, maka teman itu yang akan menolongnya.”

Nabi s.a.w. bersabda: “ Dua orang bersaudara itu, apabila berjumpa, adalah seumpama dua tangan, yang satu membasuh yang lain. Dan tidaklah sekali-kali dua orang mu’min itu bertemu melainkan diberi faedah oleh Allah dengan kebajikan akan salah seorang dari keduanya dari temannya.”

Nabi s.a.w. bersabda: “ Hai Abu Hurairah! Haruslah engkau berbaik budi.”
Lalu Abu Hurairah ra. bertanya: " Bagaimanakah budi yang baik itu, wahai Rasulullah?"
Nabi s.a.w. menjawab: " Engkau menyambung silaturrahim dengan orang yang memutuskannya dengan engkau, engkau memaafkan orang yang berbuat zalim dengan engkau dan engkau memberikan kepada orang yang tidak mahu memberikan kepada engkau"



sumber:
1) sini
2) Ihya Ulumuddin,Imam al-Ghazali